Wajah baik halang Kimberly jadi jahat

MERAIH kedudukan di tempat ketiga dalam program Dewi Remaja edisi 2022 menjadi langkah kanan buat si kecil molek Kimberly Chuah untuk terjun ke dunia seni.

Sebelum memasuki industri hiburan, wanita berdarah Tiong Hua itu dikenali dalam medium TikTok berikutan penggunaan bahasa kebangsaan yang sangat baik.

Biarpun sudah dikenali dalam media sosial, anak jati Kuala Lumpur itu mahu meluaskan pengaruh, sekali gus memperluaskan bakatnya sebagai pelakon.

Enggan terhenti setakat Dewi Remaja, Kimberly yakin pengalaman berada dalam pertandingan tersebut memberi lebih ruang kepadanya untuk lebih serius dalam arena lakonan.

“Saya bersyukur pengalaman dalam Dewi Remaja banyak memberikan pendedahan buat saya untuk mempersiapkan fizikal dan mental. Kalau dahulu memang saya cuba berjinak-jinak dalam lakonan, tetapi sekadar watak penyendal. Kemudian aktif pula dengan TikTok sebelum menyertai pertandingan Dewiemaja yang menyemarakkan semula semangat kembali berlakon. Dahulu saya tidak pernah bawa watak penting tetapi selepas Dewi Remaja saya dapat pegang karakter lagi besar,” katanya.

 

SELAIN berlakon, Kimberly pernah menyertai rancangan televisyen I Can See Your Voice musim kelima sebagai penyamar bersuara sumbang.

Tonjol keunikan

Bergelar anak seni, Kimberly sebenarnya bimbang untuk mengekalkan nama agar tidak dilupakan memandangkan persaingan yang sangat sengit dengan rakan seperjuangan lain.

“Bagi saya perkara paling susah dalam industri adalah untuk kekal supaya orang tidak lupa.

“Naik dan turun itu senang tetapi untuk mengekalkan diri dalam industri agak sukar,” tambahnya lagi.

Katanya, cabaran untuk mengekalkan nama menjadi lebih sukar dek kedatangan pendatang baharu dalam dunia seni yang tidak pernah putus.

Namun, pelakon berusia 23 tahun itu mengambil pendekatan menonjolkan keistimewaan diri untuk bersinar.

“Rasa tercabar juga apabila melihat media sosial sekarang lebih ramai pendatang baharu lagi cantik dan popular.

“Saya rasa untuk buat orang nampak kehadiran saya adalah dengan menonjolkan keunikan saya.

“Bagus juga ada pendatang baharu lebih ramai kerana ada cabaran untuk kita kekal ada dalam industri,” tutur pemilik nama lengkap Kimberly Chuah Ching Li.

Watak antagonis

Menceritakan lanjut, pelakon She Was Pretty itu meluahkan keinginannya membawa watak antagonis.
Namun, tawaran tersebut tidak kunjung tiba disebabkan rupanya yang terlalu ‘baik’ untuk memegang watak hitam.

“Saya pernah pergi uji bakat untuk cuba bawa watak antagonis tetapi respons yang pengarah berikan adalah muka saya nampak baik.

“Susah untuk terima watak sebegitu tetapi kalau antagonis yang tikam belakang atau psiko mungkin boleh dibincang,” jawabnya diiringi tawa. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok