Usah bangkitkan hal lalu – Along Cham

TUJUH tahun menyandang status bapa tunggal, pelawak dan pelakon Along Cham mendedahkan anaknya, Ahmad Danial antara insan terdekat yang kerap meminta dia segera mencari teman hidup.

Kata pemilik nama sebenar Muhammad Nizamuddin Ahmad, bukan serik pernah berdepan kehancuran rumah tangga tetapi pintu hatinya belum terbuka.

“Mungkin saya jarang keluar kalau tak bekerja.  Apabila penat menjalani penggambaran atau terbabit dengan tugas lain saya lebih suka berehat sahaja di rumah.

“Sampai kawan pun bising saya asyik terperap. Jadi, macam mana nak kahwin kalau tak mencari, tiada keinginan. Rasanya belum lagi sebab sebagai bapa tunggal, saya ada tanggungjawab.

“Anak saya okay, dia yang paling kuat menyakat minta saya kahwin cepat. Nantilah, tak serik tapi belum sampai seru,” katanya pada majlis pengumuman tarikh baharu Konsert Goyang Asia-Koplo Milenia, baru-baru ini.

Bakal menggalas tugas sebagai hos konsert yang menghimpunkan penyanyi dangdut tempatan dan Indonesia di Stadium Malawati Shah Alam, pada 30 September depan, jejaka berusia 40 tahun itu meluahkan rasa terkilan apabila ada pihak sengaja menyebar semula video lama bekas isterinya.

DANIAL pemata hati Along.

Along berkata, biarpuan Danial tidak pernah bertanya kisah silam ibunya, dia bimbang video yang tular di media sosial itu boleh mengganggu emosi permata hatinya itu.

“Saya bersyukur Danial seorang anak yang mendengar kata dan tenang dalam mendepani apa jua dugaan terutama membabitkan hal keluarga.

“Walaupun dia tidak bertanyakan apa-apa, saya berharap sangat tiada pihak membangkitkan hal lalu.

“Cukup-cukuplah. Itu semua tak bagus untuk anak saya dan perkahwinan baharu bekas isteri saya,” katanya merujuk video yang dikongsi satu akaun pengguna TikTok.

Sebelum ini Along pernah mendirikan rumah tangga dengan Zila Seeron yang juga bekas peserta Akademi Fantasia musim empat (AF4) pada 2010 tetapi bercerai enam tahun kemudian berikutan satu kontroversi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok