Tiga bulan bercinta, Cat Farish, Shikin Maembong kini bersatu

“Doakan rumah tangga kami ini diberkati hingga ke akhir hayat. Ini permulaan yang indah buat kami dan anak-anak.”

Demikian kata-kata penyanyi dan komposer, Cat Farsih yang sah bergelar suami pelakon, Shikin Maembong dengan sekali lafaz pada pukul 9.07 malam tadi.

Cat atau nama sebenarnya Farish Ramli, 49, dan Shikin atau Siti Nur ‘Ashikin Ismail, 40, diijabkabulkan dalam majlis yang berlangsung di sebuah dewan di Setapak selepas tiga bulan menyulam cinta.

Pasangan itu dinikahkan Penolong Pendaftar Perkahwinan Masjid Ibnu Abbas Taman Ibu Kota, Mohd Shukri Shafie berwalikan bapa pengantin perempuan, Ismail Embong.

Pengantin perempuan menerima mas kahwin RM200 beserta lima dulang hantaran manakala mempelai lelaki pula membawa pulang tiga dulang hantaran.

CAT sah bergelar suami Shikin dengan sekali lafaz.

Shikin yang mengalirkan air mata sebak sebaik lafaz nikah disempurnakan ditemani puteri tunggalnya serta tiga anak Cat daripada perkahwinan terdahulu di pelamin.

Sementara itu, Cat pula bersyukur dia dan isteri tercinta selamat disatukan dalam majlis yang dihadiri ramai insan penting dalam hidup mereka.

Walaupun asalnya kami hanya nak buat perkara wajib, Alhamdulillah malam ini majlis pernikahan kami menghimpunkan semua orang yang kami sayang,” katanya.

Menurut pasangan yang memilih tema pernikahan dalam taman itu, mereka belum memilih destinasi bulan madu namun merancang mengerjakan umrah pada Oktober depan.

Bulan madu belum lagi terfikir untuk ke mana-mana kerana Cat masih ada kerja yang perlu diselesaikan, cuma jika ada rezeki kami mahu mengerjakan umrah,” kata Shikin yang juga kakak kepada pelakon Emma dan Chacha Maembong kepada HibGlam.

CAT dan Shikin gembira dapat meraikan detik bahagia bersama insan penting dalam hidup mereka.

Sebelum ini, Cat pernah berkahwin dengan Suriani Hassan, 37, pada November 2020, namun bercerai Januari lalu. Mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Dia juga pernah berkahwin dengan Hartiny Ramli tetapi berpisah pada April 2016. Perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nia Karlyssa, 15, Eva Latheefa, 13 dan Qul Iskandar, 12.

Sementara itu, Shikin pula pernah mendirikan rumah tangga dengan Chef Riz yang juga anak kepada Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan pada 5 Disember 2014 sebelum bercerai pada Jun 2016.

Perkahwinan mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Putri Arianna.

Shikin kemudian berkahwin buat kali kedua pada Mac 2020, namun berpisah selepas dua tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok