Tegur dosa Alya Iman, Afiq Muiz dikutuk paling penyibuk

TIADA kaitan darah mahupun hubungan persahabatan sesama artis, tindakan pelakon Afiq Muiz yang tiba-tiba ‘rajin’ mempersoalkan keputusan pelakon Alya Iman yang  tidak lagi bertudung akhirnya dilihat memakan diri. 

Biarpun mungkin berniat sebagai teguran ke arah kebaikan, nasihat Afiq kepada anak Allahyarham Azmil Mustapha yang didakwanya seolah-olah melawan hukum agama itu mengundang menerima kecaman hebat netizen.

Rata-rata menganggap Afiq bukan individu tepat untuk memberikan nasihat memandangkan dirinya sendiri masih bergelut dengan masalah rumah tangga bersama isteri, Pachara Apin.

Lebih teruk, dia bahkan dianggap sebagai artis paling penyibuk.

“Betulkan dulu rumah tangga awak sebelum sibuk urusan orang lain. Artis paling penyibuk,” kata netizen. 

“Masa buat dekat isteri ingat Tuhan ke nampak salah orang lain sahaja?,” soal pengikut. 

“Mufti Menk pun pernah cakap kalau soal aurat wanita lelaki bukan keluarga tidak perlu bagi pendapat. Awak ini abang diakah?,” ujar netizen dalam nada sinis.

Biarpun bertubi-tubi dikritik, abang kepada pelakon Aishah Azman masih sempat mengingatkan Alya tentang hukum agama jika tidak memakai hijab seperti suruhan Allah.

Sekitar lebih dua bulan lalu, pemilik nama sebenar Nur Alya Iman Azmil, 22, mengejutkan ramai apabila membuat pengakuan lebih selesa dan mahu menjadi diri sendiri dengan membuka tudung. Pelakon itu juga berharap tindakan menanggalkan hijab tidak dikaitkan dengan nama arwah bapanya, Azmil Mustapha. 

Setakat ini, usaha Kosmo! Online untuk mendapatkan komen pelakon Ku Punya Hati itu belum berhasil apabila panggilan mahu pun mesej tidak berbalas. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok