[VIDEO] Sumpahan Jerunei cabaran besar buat saya – Amerul Affendi 

FILEM Sumpahan Jerunei yang diinspirasikan daripada kisah benar kaum Melanau membuka mata pelakon Amerul Affendi terhadap adat masyarakat Sarawak.

Bahkan peluang membawakan watak YouTuber penjejak hantu bernama Tommi antara karakter unik yang cukup menguji kekuatan mental dan fizikalnya.

Filem ini padat dengan plot menarik yang menggabungkan aksi lasak serta adegan ngeri dengan kesemua babak sukar dilakonkan sendiri barisan pelakon.

“Tommi digambarkan sebagai lelaki berani dan gila-gila apabila berdepan termasuk ketika sesat di hutan. Dia hati kering tetapi dalam masa sama ada kelemahan.

“Sebenarnya saya gayak ketika menaiki bot dalam adegan menyusuri sungai di sebuah kampung di Mukah. Namun, demi menjayakan babak itu saya kena bertahan,” katanya.

Biarpun sudah empat tahun berlalu, pengalaman menjalani penggambaran di kawasan perkampungan air di Mukah serta di Kuching selama 45 hari meninggalkan kesan mendalam di hati aktor berkaliber itu.

Pengalaman pahit manis diharungi bersama teman seperjuangan iaitu Bront Palarea, Uqasha Senrose, Daiyan Trisha, Shafie Naswip, Tony Eusoff dan Ruminah Sidek turut menyuntik semangatnya.

Melihat pasukan Produksi Seni 2020 yang diketuai Datuk Nancie Foo dan Datin Wendy Wong bekerja dari pengumpulan bahan dua tahun sebelumnya hingga penggambaran bermula membuatkan Amerul teruja menjadi sebahagian daripada karya itu.

Banyak sebenarnya adegan ngeri terutama ketika watak Arjuna (Shafie) menoreh jari hingga putus. Penonton kena tengok keseluruhan cerita supaya memahami kenapa perkara itu berlaku,” ujarnya.

Mengulas babak mendakap Uqasha yang melakonkan watak Bee, aktor berusia 36 tahun itu menegaskan itu hanya pelukan seorang teman.

“Bagi saya babak itu mahu menggambarkan Tommi yang ketakutan sesat di hutan terlampau gembira bertemu Bee dan memeluk sahabatnya itu.

“Apa pun, saya tetap menghormati pandangan orang lain. Sebelum ini pun saya pernah terbabit dengan adegan serupa dalam teater. Cuma untuk kepastian, tontonlah Sumpahan Jerunai,” tambahnya.

Bakal ditayangkan bermula 27 Julai ini, naskhah mega arahan Jason Chong membabitkan kos RM5 juta itu turut dipertontonkan di Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) di Kuching pada minggu lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok