Soal anak, siapa kita nak pertikai kuasa-Nya? – Uqasha

DISINDIR dengan kata-kata pedih kerana masih belum mempunyai anak, aktres Uqasha Senrose mengakui terkilan namun sudah lali dengan komen jahat yang dilemparkan seorang wanita terhadap dirinya.

Kata Uqasha, seorang wanita seharusnya lebih memahami perasaan wanita lain, terutama isu anak yang sensitif bagi segelintir orang.

Katanya, perbuatan melemparkan komen jahat sebegitu ibarat mempertikaikan kuasa Tuhan.

“Saya cuba abaikan sindiran yang mengaitkan isu anak kerana semuanya berbalik kepada rezeki Allah, siapa kita nak mempertikaikan kuasaNya.

“Lagipun sebenarnya banyak lagi dugaan besar lain pernah kami hadapi berbanding kata-kata pedih seorang wanita menerusi komennya.

“Cuma terkilan sebab komen tersebut dilemparkan kaum Hawa iaitu seorang wanita seperti saya,” katanya kepada HibGlam  ketika ditemui pada pertandingan akhir Mega Spontan, malam tadi.

Mengubat hati sendiri, isteri kepada pelakon Kamal Adli berkata, pengalaman pernah keguguran sebelum ini membuktikan mereka mampu mempunyai anak.

Cuma katanya, andai mereka melakukan ikhtiar untuk mendapatkan cahaya mata pun, perkara sebegitu tidak perlu dikongsikan kepada umum.

“Saya enggan memikirkan pendapat orang lain berhubung isu ini, malah jika kami berusaha dan berikhtiar pun takkan kami kena hebahkan.

“Apa pun doakan saja kami dikurniakan rezeki cahaya mata, begitu juga dengan wanita lain yang menunggu berita gembira itu,” ujarnya.

Terdahulu, pelakon Perempuan Tanpa Dosa itu meluahkan rasa kecewa dalam Instagram apabila disindir netizen masih belum dikurniakan anak selepas hampir dua tahun mendirikan rumah tangga.

Uqasha membalas sindiran seorang netizen dalam ruangan komen Instagram yang kononnya kasihan melihat dirinya dan dua adiknya, Nelydia Senrose dan Raysha Rizrose masih belum dikurniakan anak.

Bukan tidak pernah hamil, Uqasha sebelum ini pernah mengalami keguguran sebanyak dua kali itu pada awal tahun 2022 dan November 2022.

Uqasha atau nama penuhnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen mendirikan rumah tangga dengan pelakon Kamal Adli pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok