Seragam bomba lunas kempunan Eric Lay

SEDARI kecil, Eric Lay bercita-cita mahu menjadi anggota polis namun tidak kesampaian apabila gagal temu duga kerana ada tatu di tubuhnya.

Meski kecewa, dia percaya pasti ada rezeki lain sudah tertulis untuknya. Berbekalkan wajah tampan dan tubuh tinggi, anak jati Ipoh, Perak itu akhirnya berkecimpung dalam bidang peragaan.

“Sejak kecil saya memang mahu jadi polis. Saya pernah mohon dan pergi temu duga, malangnya tak dapat sebab badan ada tatu.

“Saya rasa kalau tak ada tatu, mungkin saya sudah bergelar anggota polis,” katanya.

ERIC berharap diberi peluang membintangi drama Melayu.

Sambung jejaka berusia 29 tahun itu, bergelar model bukan sekadar ‘menjual’ wajah dan bentuk tubuh tetapi tersaji pelbagai cabaran yang boleh merosakkan sekiranya tersilap langkah.

“Terjun dalam bidang ini nak jual bakat tetapi ada banyak cabarannya.

“Apabila bergelar model, saya bukan sahaja diganggu wanita, tetapi juga lelaki. Dulu memang saya tidak selesa dan selalu berasa tidak selamat.

“Namun, selepas beberapa tahun dalam industri ini saya ambil pendekatan tidak melayan mereka,” tegasnya.

Puas membina nama di pentas peragaan, Eric kemudian melebarkan sayap dengan terjun ke dunia lakonan.

“Selain masih aktif sebagai model, saya kini berlakon untuk produksi hiburan cina.

“Banyak juga drama Cina saya bintangi. Minat dan impian utuk cuba menembusi pasaran Melayu itu ada, cuma saya ada beberapa kekangan buat masa sekarang termasuklah kurang fasih bertutur dalam bahasa Melayu,” katanya.

Sedar akan kelemahan itu, Eric mencabar diri dengan muncul dalam program Real Men Malaysia: Wira Merah adaptasi rancangan realiti dari Korea Selatan.

Jelas Eric, tawaran itu dilihat sebagai batu loncatan untuknya bertapak dalam dalam industri hiburan Melayu.

Menerusi program itu tujuh selebriti yang terpilih akan menjalani latihan yang dikendalikan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Walaupun tidak dapat menyarung seragam polis, dapat rasa pakai baju bomba pun sudah besar maknanya buat saya.

“Diharap dengan menyertai program Real Man Malaysia: Wira Merah ini dapat memperbaiki cara komunikasi saya,” katanya.  – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok