Search, Barbarik tawan Stadium Melawati Ogos depan

PENCINTA muzik rock bakal menyaksikan kumpulan Search dan Barbarik menggegarkan Stadium Melawati, Shah Alam menerusi konsert Double Trouble pada 5 Ogos depan.

Gitaris yang juga pengasas kumpulan Barbarik, Joe Branko berkata, dia tidak sabar menggegarkan lokasi ikonik tersebut bersama Search dan rakan-rakan lain.

Joe Branko atau nama sebenarnya, Abdul Zamin Abdul Kadir berkata, dia tidak gentar dengan persaingan konsert-konsert yang kerap diadakan sejak kebelakangan ini dan menganggap perihal terbabit sebagai sesuatu yang sihat untuk perkembangan dunia seni negara.

“Masing-masing ada pengikut tersendiri. Saya mengalu-alukan persaingan sihat terutama daripada artis rock tanah air.

“Dalam satu sudut lain, barangkali mesti ada pihak penganjur yang mengambil kesempatan di situ.

Tapi, bagus buat industrilah. Tiada rasa terbantut atau triggered (tercabar). Siapa-siapa sahaja boleh buat konsert sekarang asalkan mereka bekerja keras untuk peminat,” kata Joe tanpa menyebut mana-mana artis atau kumpulan secara spesifik dalam bait kata sinisnya itu.

 

Joe Branko menjanjikan hanya yang terbaik akan disajikan kepada penonton dalam konsert nanti

 

Ditanya tentang nuansa yang akan dipamerkan dalam Double Trouble 2 nanti, Joe barkata, dia hanya menjanjikan yang terbaik buat para penonton yang hadir nanti.

Saya dan Muss adalah serpihan daripada Double Trouble yang pertama.

“Bagaimanapun, kami menitikberatkan semua sudut nanti. Dari segi opening, penutup dan produksi nanti,” katanya.

Dalam pada itu, berbicara tentang kehendak audiens yang menginginkan lagu-lagu kegemaran mereka dimainkan pada Double Trouble 2, Joe ternyata mempunyai pendapat tersendiri.

Katanya, isu tersebut memang tidak akan pernah selesai kerana setiap orang mempunyai pilihan lagu masing-masing.

“Apa yang saya boleh janji, kita memilih lagu-lagu yang terbaik untuk didendangkan pada konsert nanti.

Kita kena pilih berapa lagu yang berentak laju, ‘moderate’ dan balada. Memang saya tak nafikan, ramai suka balada tapi kita tak boleh main lagu balada dari awal sampai akhir.

“Apa yang pasti, kita akan bagi mereka rasa setiap momen dan emosi pada konsert nanti. Itu adalah tugas kami sebagai pemain muzik rock,” jelasnya.

Muss menghiburkan media dan peminat di majlis sidang media konsert Double Trouble 2 yang berlangsung baru-baru ini.

Search sebuah jenama yang sebati dengan arena rock akan tampil di pentas diterajui Din (gitar) bersama Kid (gitar), Yan (bass), Firdaus (keyboard), Minn (dram) dan vokalis sensasi baharu mereka, Denden Gonjalez.

Barbarik pula diterajui Joe Branko (gitar) bersama Adi (keyboard), Ruzaimie (bass), Ainol (dram) dan vokalis legenda, Muss.

Konsert Double Trouble 2 dianjurkan oleh Alpha Nation, manakala pengurusan produksi oleh Lashkar Entertainment dan Playmand Sdn. Bhd.

Pada dasarnya, penganjuran konsert ini diinspirasikan dari album Double Trouble 2 yang menggabungkan Search dan Wings dan diterbitkan pada 1988.

Search ketika itu menampilkan Amy selaku penyanyi, Noordin (gitar), Kid (gitar), Fauzi (bass) dan Allahyarham Yazit (dram).

Wings pula dibarisi Muss (penyanyi), Joe (gitar), Eddie (bass) dan Black (dram).

Tiket konsert boleh didapati menerusi laman sesawang www.ilassotickets.com dan hotline (011 13297822).

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok