Saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk bertindak – Ella

“PIHAK pengurusan Ella dalam usaha melapor perkara tersebut kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menyerahkan semua maklumat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).”

Demikian kenyataan yang dikeluarkan syarikat pengurusan Ratu Rock, Ella berhubung  perbuatan pihak tidak bertanggungjawab menggodam akaun Facebooknya.

Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin menyerahkan kepada pihak berkuasa dan agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.

“Pada 27 Julai 2023, pukul 6 petang kami ambil maklum akaun Facebook rasmi Ella, @Ellaaminuddin telah digodam pihak tidak bertanggungjawab,” kata kenyataan itu.

Daripada tinjauan ke laman berkenaan, hantaran terakhir membabitkan kerjaya penghibur berusia 56 tahun itu adalah pada 6 Julai 2022.

Sejak semalam sehingga pagi tadi penggodam telah memuat naik lapan video baharu yang diambil daripada platform lain.

Perkara tersebut turut disedari peminatnya yang turut berkongsi kenyataan pengurusan Ella berkenaan perbuatan penggodam dalam ruangan komen. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok