Saya akan merindui Tok Pok selama-lamanya – Kasih Iris Leona

PETALING JAYA – Selebriti media sosial yang juga anak kepada pelakon Azhar Sulaiman, Kasih Iris Leona berkongsi rasa sedih atas kehilangan salah seorang insan yang paling dia sayangi iaitu datuknya, Allahyarham Datuk Pahamin Rajab yang dilaporkan meninggal dunia hari ini.

Menerusi perkongsian yang ditulis dalam Instagram miliknya, gadis berusia 24 tahun itu seakan tidak percaya apabila kehilangan datuknya itu, namun reda atas ketentuan yang telah ditetapkan olehNya.

“Tok Pok (panggilan datuknya). Rasa seperti tidak percaya awak sudah tiada lagi di dunia ini. Saya tidak tahu bagaimana hendak menggambarkan perasaan ini.

“Terima kasih kerana telah memberikan saya kehidupan yang baik dan sentiasa percayakan saya. Saya ingin membuatkan anda bangga, tapi kini awak sudah tiada lagi. Adakah kamu bangga dengan apa yang saya capai?” luah Leona.

Dalam hantaran itu juga, Leona turut berharap supaya dapat diberi peluang untuk mengucapkan salam terakhir dan memeluk figura yang disegani ramai itu.

“Sedihnya kerana waktu untuk kita sama-sama di dunia ini sudah pun berakhir. Saya harap dapat diberi peluang untuk mengucapkan salah terakhir dan memelukmu.

“Tapi saya tidak dapat putarkan semula masa. Apa yang boleh saya lakukan sekarang adalah menjadi cucu yang kamu banggakan,” katanya.

Pada masa sama, Leona yang kini sedang melanjutkan pengajian di United Kingdom turut menzahirkan rasa bertuah kerana menjadi cucu kepada arwah datuknya dan berharap dapat berjumpa dengan arwah walaupun sekadar di dalam mimpi sahaja.

“Saya sangat bertuah menjadi cucu Tok Pok. Selamat tinggal. Saya akan merindui Tok Pok selama-lamanya,” ujar Leona.

Allahyarham Pahamin Rajab, 77, yang juga bekas Pengerusi AisAsia Berhad, meninggal dunia akibat serangan jantung sewaktu dalam penerbangan ke London, malam tadi.

Menerusi kenyataan daripada keluarga beliau, Allahyarham yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kembali ke rahmatullah di Lapangan Terbang Heathrow pukul 11.30 malam.

“Jenazah Allahyarham masih berada di London dan urusan seterusnya akan dimaklumkan kelak insya-Allah.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Diharap agar sama-sama dapat sedekah al-Fatihah buat Allahyarham,” katanya.

Dalam masa sama, berita duka tersebut turut dikongsi oleh pelakon, Azhar Sulaiman yang juga menantu beliau menerusi Instagram dan TikTok.

“Sekarang ibu mentua dan anak lelaki saya berada di London. Mereka ke London untuk menghadiri graduasi anak lelaki saya.

“Kami semua ke London pada Isnin. Mohon bacakan al-Fatihah untuk bapa mentua saya,” katanya.

Allahyarham sebelum itu sempat menunaikan ibadah haji di Tanah Suci baru-baru ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok