Salah Hati, Kucaimars kembalikan siulan galau

HAMPIR setahun tidak menghasilkan lagu baharu berikutan kesibukan menguruskan perniagaan, kini Kucaimars nekad kembali ligat dalam arena seni suara.

Katanya, bukan merajuk hingga mengambil masa lama untuk muncul semula, cuma tekad memberikan dendangan terbaik memakan tempoh panjang.

Menurut pemilik nama sebenar Amirul Husyairi Nani itu, single berjudul Salah Hati kini menjadi pertaruhan emasnya demi menawan semula perhatian penggemar lagu lara atau galau seperti yang pernah menjadi siulannya sebelum ini.

KUCAIMARS kembali berkongsi dendangan galau menerusi lagu Salah Hati.

Sentuh Sanubari

“Saya yakin nukilan komposer terkenal Indonesia, David dan Dewangga mampu menyentuh sanubari ramai, terutama mereka yang pernah kecundang dalam percintaan.

“Lagu ini tentang salah hati apabila si kekasih telah memberikan segala-galanya, namun si wanita beralih kepada kekasih lain.

“Dek mahukan kesempurnaan juga, pembikinan Salah Hati turut mengambil masa agak lama,” katanya.

Teruja berkongsi mengenai pembikinan video muzik pula, Kucaimars mengakui sengaja memilih pantai menjadi subjek penting, memandangkan pantai sering wujud dalam kisah cinta.

“Penggambaran video muzik tidak mengambil masa lama. Penggambaran dijalankan di pesisir pantai kerana pantai sarat simbolik perasaan yang sedang galau.

“Pengalaman ini sangat menarik dan sepanjang penggambaran, kami turut berpeluang menikmati keindahan suasana yang pasti disukai penonton,” ungkap penyanyi berusia 25 tahun itu.

Angin perubahan

Seiring penampilan single baharu, Kucaimars turut memaklumkan kini dia sudah berpayung bawah naungan syarikat rakaman Armani Entertainment Group (AEG).

Katanya, sudah tentu pengembaraan bersama AEG bakal menyaksikan angin perubahan lebih segar yang dimulakan dengan Salah Hati

“Mereka nampak bakat dan memberikan peluang untuk saya menghasilkan single baharu ini.

“Saya gembira merentasi waktu bersama AEG dan tidak sabar menghasilkan lebih banyak karya berkualiti pada masa akan datang,” ujarnya.

Perjalanan seni anak muda asal Seremban, Negeri Sembilan itu bermula sekitar tahun 2018 apabila menyanyikan lagu saduran yang menyerlahkan namanya dalam arena hiburan.

Setahun kemudian, Kucaimars diundang menyertai program pertandingan membabitkan penyanyi muda, Big Stage musim dua hingga mara ke peringkat separuh akhir.

Single pertama dihasilkan lulusan seni teater Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berjudul Jawab ciptaan Hang Nadim (Akim) dan Zimi Sofaz yang diterbitkan pada 2019.

Menyusul kemudian adalah lagu Khayalan, Mudah Bagimu dan Sayonara yang dilancarkan tahun lalu bergabung dengan Ezzrin Loy serta Arif Bahran.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok