Rindumu Memanggilku taruhan terbaharu Nine

Rindu untuk kembali beraksi di gelanggang seni  tanah air selepas sekian lama menyepi membuatkan Nine tekad tampil dengan single terbaharu.

Lebih bermakna, karya berjudul Rindumu Memanggilku yang dilancarkan pada 6 Jun lalu itu menyaksikan Nine atau nama sebenarnya, Mior Zulkarnain Mohd Zamhuri bekerjasama dengan komposer terkenal Ajai.

Memang agak lama sebenarnya saya tidak hadir dengan produk baharu dan apabila diberikan kesempatan untuk merakamkan Rindumu Memanggilku, saya berasa sangat teruja.

“Apatah lagi ini merupakan kerjasama pertama saya dengan Ajai selaku komposer. Pastinya saya berbesar hati dan gembira. Ini memang satu pengalaman yang menarik dan manis buat saya secara peribadi,” kata Nine.

Nine teruja bekerjasama dengan komposer terkenal, Ajai.

Solo pertama

Menurut bekas anggota kumpulan Phyne Ballerz itu, Rindumu Memanggilku adalah karya solo pertamanya sejak menceburi dunia muzik pada 1999.

Dek kerana itulah, pengalaman kali ini cukup berbeza apabila perlu bergerak sendirian.

“Perjalanan yang saya tempuh kali ini memang berbeza jika dibandingkan dengan dahulu. Apa boleh saya katakan, ini sesuatu yang baharu bagi saya. 

Apapun, saya berasa gembira untuk memperkenalkan nama Nine kepada  peminat generasi muda selain dapat mengubati kerinduan terhadap peminat yang sekian lama menantikan lagu baharu daripada saya,” ujarnya. 

 Jelasnya, dia pernah bersama Phyne Ballerz pada awal kemunculan sebelum ‘berhijrah’ seketika bersama Ruffedge pada 2008 hingga 2011 dan bersama duo Billy Zulkarnain pada 2018.

Nine berharap taruhan terbaharunya ini dapat diterima peminat.

Nuansa R&B

Mengulas lanjut karya ciptaan sepenuhnya Ajai itu, Nine mengakui tertarik tatkala diperdengarkan lagu itu. Meskipun Ajai ada menyediakan beberapa lagi lagu, Rinduku Memanggilmu paling melekat di hatinya.

Ada banyak kekuatan dan keistimewaan naskhah ini, paling penting tidak lari jauh daripada muzik R&B yang menjadi ‘nadi’ saya sejak dahulu lagi,” katanya yang pernah menganggotai kumpulan Ruffedge dan Billy Zulkarnain. 

Lagu Rindumu Memanggilku sudah berada di semua platform digital manakala video muzik pula boleh ditonton melalui YouTube Indigital Music.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok