PU Syed tak gentar disaman Baby Shima

PENCETUS Ummah (PU) Syed menyifatkan saman difailkan penyanyi dangdut, Baby Shima terhadapnya sebagai ujian dalam usaha mencegah kemungkaran.

Pendakwah bebas itu menegaskan tidak berasa gentar berhadapan dugaan sedemikian, sebaliknya menjadikan golongan anbiya sebagai teladan dalam berdakwah.

“Anbiya dan salafuna soleh ada yang mati dibunuh kerana mencegah kemungkaran dan menyatakan yang hak. Kita di akhir zaman ini, secebis daripada itu pun masih belum menyamai perjuangan mereka.

“Adakah ini satu musibah atau anugerah yang Allah hantar memberi ujian seterusnya kepada saya dalam mencegah kemungkaran yang berleluasa dalam masyarakat di Malaysia tercinta ini,” kongsinya menerusi Instagram.

Menerusi hantaran itu, pemilik nama Syed atau nama sebenarnya Syed Mohd. Bakri Syed Ishak turut menyertakan pepatah arab yang bermaksud berkata benar walau pun pahit dengan tanda pagar #AdeAmbeTakut.

Semalam, Baby Shima atau Nor Ashima Ramli menerusi peguam Muhammad Noor Azfar Noor Azmi menfailkan saman terhadap PU Syed dan Ketua Pemuda Pas Kuantan, Abd. Rahman Mat Noor berkaitan kata-kata fitnah.

Muhammad Noor Azfar berkata, pihaknya memfailkan writ saman dan penyataan tuntutan itu di Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak serta Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kelantan.

Tuntutan saman itu dipercayai dibuat terhadap PU Syed yang didakwa memfitnah dan menuduhnya tidak mengerti soal halal dan haram berhubung penganjuran sesuatu konsert.

Manakala Abd. Rahman pula pernah mendakwa penyanyi berkenaan menjual agama kerana hanya mengenakan tudung mengikut majlis tertentu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok