[VIDEO] Pesona luar biasa Celebrity

PERTEMBUNGAN Barbie dan Oppenheimer di pawagam kini boleh diibaratkan seperti pertemuan antara buku dan ruas.

Bukan hanya pungutan tiket, bahkan kedua-dua filem terbabit mendapat ulasan yang baik dalam kalangan pencinta dunia sinematik.

Di sebalik kemaraan ‘Barbieheimer’, siri Celebrity yang mencipta fenomena tersendiri dalam kalangan penonton global tidak boleh diketepikan.

Dibarisi pelakon hebat Korea iaitu Park Gyu-young sebagai Seo Ah-ri, Kang Min-hyuk (Han Jun-kyung) dan Lee Chung-ah (Yoon Si-hyeon), Celebrity yang mengisahkan kebenaran dunia media sosial ternyata memercik dampak tersendiri.

CELEBRITY buka mata ramai terhadap realiti dunia media sosial.

Pertama sekali, naratif dan plot siri 12 episod tersebut terkandung nuansa yang sangat luar biasa.

Luar biasa yang membuatkan sesiapa yang menonton akan menghabiskan pengamatan dengan ‘sekali lalu’.

Tonton episod pertama, memang sampai ke garisan episod penghujung siri arahan sutradara bernama Kim Cheol-kyu itu.

PARK GYU-YOUNG berjaya menterjemahkan karakter pempengaruh bernama Seo Ah-ri dengan berkesan.

Permainan emosi, plot twist (pusingan plot), terjemahan karakter dan sinematografi, semuanya dibangunkan dengan sebaik-baiknya kejadian.

Terjemahan karakter kisah Celebrity sangat berkelas ‘papan atas’. Park Gyu-young sebagai Seo Ah-ri merupakan aktres paling cocok melakonkan karakter seorang pempengaruh media sosial yang bermula dari bawah.

Daripada seorang yang tiada apa-apa, dia kemudian menjadi dambaan ramai disebabkan strategi hebat yang direalisasikan dengan cukup licik.

Watak-watak lain juga dibangunkan dengan cukup cemerlang dan seadil-adilnya. Karakter Han Jun-kyung, Yoon Si-hyeon dan Oh Min-hye tidak dibazirkan walaupun sekadar watak pembantu atau sampingan.

ANTARA paparan senario di sebalik ‘keindahan’ hidup pempengaruh.

Menerusi Celebrity, dapat dirungkai atau diterjemahkan kepada audiens tentang sepak terajang dan toksik dunia media sosial.

Barangkali tiada siapa yang sedia maklum bahawa, dalam kemasyuran individu bernama influencer atau pempengaruh, ada tangan-tangan yang yang ‘mengawal’ dan menjaga periuk nasi mereka.

Seperkara lagi, cerita atau kisah seperti Celebrity memberikan pengajaran buat audiens bahawa tidak semua apa yang dipaparkan dalam dunia media sosial itu benar.

Ada kisah yang sengaja dicetuskan demi memancing perhatian orang ramai walaupun terpaksa berbohong.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok