Penonton sekarang tak bodoh – Erma Fatima

Meskipun pernah dihambat kontroversi, pengarah dan penerbit Erma Fatima bersyukur drama Perempuan Itu mendapat sambutan hebat daripada penonton sejak disiarkan pada awal Jun lalu.

Selaku penulis skrip, dia juga menjelaskan menerima setiap komen dan kritikan yang diberikan namun berharap mesej drama tersebut sampai ke hati penonton.

“Saya menerima banyak komen sejak awal Perempuan Itu bersiaran, ada yang berpuas hati dan tidak untuk penamat cerita ini.

“Watak Khalish lakonan Mimi Lana adalah lambang seorang wanita kuat yang memang saya idamkan ada dalam diri saya dan semua orang.

“Ramai marah egonya tinggi tetapi saya percaya ada waktunya ego itu yang mengangkat martabat dan maruah kita,” katanya dalam video TikTok semalam.

Menerusi drama  itu, dia juga ingin penonton membuka mata mengenai hak dan martabat seorang wanita dalam agama Islam.

Perempuan Itu bukan hanya tentang Khalish tetapi sebagai pelambangan semua wanita di luar sana.

“Alhamdulillah, drama ini juga banyak mengajar saya tentang martabat seorang wanita dan surah An-Nisa dalam al-Quran.

“Saya berharap anda tidak hanya melihat tetang poligami atau penyondol tetapi perlu memandang sudut lain iaitu bagaimana untuk menjalani kehidupan sebagai seorang wanita Islam,” jelasnya.

Menjawab persoalan ramai mengapa tidak memaparkan watak Emir lakonan Zul Ariffin tidak bertaubat, Emma menjelaskan dia enggan menghukum setiap karakter seperti jalan cerita klise drama lain.

“Saya juga tidak mahu menjadi penulis skrip yang suka menghukum setiap watak atas perkara buruk yang dilakukan.

“Selain itu saya juga cuba lari kebiasaan drama yang perlu ada watak jahat dan baik,” katanya lagi.

Sementara itu, dia juga sentiasa terbuka menerima komen orang ramai terhadap karyanya malam menyifatkan penonton zaman sekarang sebagai bijak.

“Penonton sekarang tidak bodoh dan sangat bijak untuk menafsir setiap yang dipaparkan menerusi watak.

“Anda berhak memberi komen dan saya juga layak untuk menulis serta memaparkan perkara yang hendak ditunjukkan dalam Perempuan Itu.

“Hanya diberikan tempoh satu bulan sahaja untuk menulis skrip ini. Terima kasih kepada pengarah iaitu Isma dan Ain Sharif kerana dapat menafsirkan karya saya,” jelasnya.

Sejak disiarkan menerusi platform atas talian, Tonton, Perempuan Itu yang turut dibintangi Siti Hariesa dan Amar Asyraf tular dalam media sosial terutama TikTok.

Rata-rata memuji kualiti jalan cerita dan lakonan hebat setiap pelakon.

Pada Mac tahun lalu, Zul pernah dijatuhkan hukuman dan membayar denda sebanyak RM30,000 atas pertuduhan memuat naik kandungan bersifat sumbang dalam media sosial iaitu salah satu babak panasnya dengan Siti Hariesa dalam Perempuan Itu.  – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok