Penggodam berniat jahat, jatuhkan reputasi Ella – Rockqueen

BAGI menjaga reputasi Ella sebagai penghibur dihormati, syarikat pengurusan Ratu Rock negara itu bertindak membuat laporan polis tengah malam tadi.

Wakil Rockqueen memaklumkan laporan berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sg Buloh selepas yakin pihak tidak bertanggungjawab itu mempunyai niat jahat bersandarkan video pertama yang dikongsikan.

Setakat ini laporan polis sudah kami ajukan selepas percaya penggodam berniat jahat mahu merosakkan kredibiliti dan reputasi Ella apabila memuat naik video memualkan.

“Ini juga merupakan ‘cover report’ bagi mengelakkan perkara tidak diingini sekiranya penggodam mahu menggunakan akaun tersebut bagi tujuan tidak baik.

“Diharap tindakan tegas ini dapat mengelakkan peminat keliru dan salah sangka seterusnya maklum Facebook tersebut sudah diambilalih penggodam,” katanya kepada HibGlam

Pada masa sama, Rockqueen kini bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mendapatkan semula akaun itu.

Semalam, peminat penghibur kesayangan ramai itu terkejut apabila Facebook Ella dipenuhi video yang tiada kaitan dengan kerjaya seni mahu pun peribadinya.

Syarikat pengurusan pemilik nama penuh Nor Zila Aminuddin itu kemudian mengesahkan akaun berkenaan telah digodam pihak tidak bertanggungjawab.

Dalam kenyataan rasmi Rockqueen, mereka turut memaklumkan akan membuat laporan polis, selain menyerahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.

Daripada semakan, sejak semalam sehingga pagi tadi penggodam telah memuatnaik lapan video baharu yang diambil daripada platform lain.

Perkara tersebut turut disedari peminatnya yang turut berkongsi kenyataan pengurusan Ella berkenaan perbuatan penggodam dalam ruangan komen. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok