[VIDEO] Pekin reda kereta ‘total loss’, lega rakan selamat

Pelakon Pekin Ibrahim reda apabila kereta jenis GR Yaris Kansai D1 Edition miliknya kemalangan teruk (total loss) selepas terbabit dalam nahas jalan raya di Putra Heigh, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Walaupun sedih dengan kejadian itu apatah lagi kereta terbabit baru sahaja seminggu tiba di Malaysia, Pekin atau nama penuhnya, Mohd. Iznan Ibrahim, 42, bersyukur kerana insiden ngeri tersebut tidak melibatkan kehilangan nyawa.

Menerusi satu perkongsian yang dimuat naik dalam TikTok miliknya, Pekin menjelaskan ketika kejadian, kereta itu dipandu rakannya bernama Amirul dan turut dinaiki dua lagi sahabatnya iaitu Arif dan Faiz.

“Semasa kejadian bukan saya yang memandu. Kereta itu dipandu oleh rakan saya bernama Amirul. Abang Arif duduk di sebelah pemandu dan Faiz duduk di belakang.

“Alhamdulillah, semua selamat walaupun ada yang mengalami kecederaan patah bahu. Doakan supaya mereka cepat sembuh,” katanya.

Menerusi video terbabit, suami kepada pelakon Mona Allen itu turut menggesa semua pihak berhenti memperkatakan perkara yang tidak benar mengenai kejadian tersebut.

“Ada yang kata meninggal dunia dan sebab berlumba. Berhentilah sebarkan perkara yang bukan-bukan. Benda berlaku sekelip mata. Semuanya qada dan qadar. Insurans akan cover, Insya-Allah. Kami akan berbincang selepas semuanya sihat. Harap doakan yang baik-baik,” ujar Pekin.

Pada masa sama, pelakon dan juga pengarah itu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kebaikan dirinya.

“Terima kasih kepada yang mendoakan, yang telefon tidak henti-henti. Kepada mereka yang prihatin dan bertanya khabar, terima kasih banyak,” jelasnya.

Sebelum menutup bicara, pekin menitipkan pesanan buat semua yang menonton video berkenaan.

“Buat anda, berhati-hati di jalan raya. Kalau bawa kereta member (kawan), hati-hati. Itu sahaja saya nak cakap,” katanya.

Difahamkan kereta terbabit dibuat khas untuk Pekin dan mendapat sentuhan istimewa pemilik Kansai Service di Jepun. – HIBGLAM

@pekinibrahim74 DOA YANG BAIK BAIK SEMUA . ❤️#bigjoecarwashanddetailing #Gryariskansai #Tinggalkenangan ♬ See You in Heaven – Calming Tune

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok