Nad Zainal tulen tak canang kisah rumah tangga

Pelakon Nad Zainal kesal dengan penulisan tajuk perkongsian sebuah akaun Facebook yang disifatkan berbaur fitnah sehingga mampu mengundang salah faham ramai mengenai suhu rumah tangganya.

Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin berkata, tajuk sebegitu tidak seharusnya diterbitkan apatah lagi dia bukan individu yang suka berkongsi perihal rumah tangga dalam media sosial.

Kalau hendak jual barang sekali pun, tidak perlulah tulis begini. Netizen sudah percaya, ada Nad Zainal lain ke?

“Sebab Nad Zainal yang tulen jaranglah buka mulut untuk canang kisah rumah tangga,” katanya dalam sebuah hantaran Instagram.

Tangkap layar akaun Facebook yang memaparkan tajuk berbaur fitnah mengenai rumah tangga Nad.

Pelakon Dendam Seorang Isteri itu berpendapat isu penyebaran berita palsu dalam media sosial tidak berkesudahan meskipun dunia seni tanah air baru sahaja dipanaskan dengan episod perang pelawak Shuib bersama netizen berhubung isu Freemason dan kematian Allahyarham Siti Sarah.

Dramatis berusia 33 tahun itu kecewa apabila pautan yang diletakkan akaun berkenaan kononnya perincian lanjut seiring tajuk hanyalah ‘wayang’ demi mempromosikan produk jualan mereka.

“Baru kes Freemason habis. Nampaknya sama sahaja.

“Penat saya tekan pautan, rupa-rupanya suruh membeli-belah. Semoga bertaubat.

“Saya ada 21 babak hari ini dan ingin menjaga emosi di set penggambaran,” ujar isteri kepada pelakon Ungku Ismail itu.

Sementara itu, dia juga menasihatkan orang ramai berhenti mengelirukan orang ramai dengan tajuk dan artikel palsu dalam media sosial.

Jangan suka buat kelakar dalam media sosial ya. Nanti ramai yang lurus dan percaya,” katanya lagi.

Menerusi perkongsian tersebut, bintang drama Takdir Yang Tertulis itu turut memuat naik tangkap layar akaun Facebook berkenaan yang tertulis tajuk berbaur fitnah mengenai rumah tangganya.

“Nad Zainal dah mula tak selesa dengan Ungku Ismail!! Ini luahannya.

“Baru sahaja kahwin, Nad Zainal luah rasa tidak selesa dengan Ungku Ismail,” tulis akaun tersebut.

Nad sebelum ini mengejutkan ramai apabila mengesahkan sudah mendirikan rumah tangga dengan Ungku Ismail di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 23 Januari lalu.

Terdahulu, pada 3 September lalu, pelakon asal Kajang, Selangor itu mengejutkan ramai apabila mengesahkan perceraiannya dengan Faliq Amiruddin.

Tidak berkongsi lanjut mengenai punca perceraian sehingga hari ini, Nad enggan orang ramai membuat spekulasi tidak berasas mengenai perpisahan dengan bekas suami.

Mendirikan rumah tangga dengan Faliq pada 18 Disember 2015, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Fahad Ibrahim, 6, dan Budi Kalsom kini berusia setahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok