Muzik Aisha Retno sukar diterima?

SECARA mata kasarnya, mungkin perjalanan penyanyi muda, Aisha Reto ini dilihat agak sukar terutama jalur muziknya yang dikatakan tidak selari dengan ‘permintaan’ peminat industri seni suara.

Namun hakikatnya, dia sehingga kini tidak menang tangan. Memenuhi jemputan walaupun populariti belum memeluknya secara total. Dia masih bertatih, belajar mengenal dunia seni yang ada pahit manisnya.

Teruja untuk menghadiahkan mini album pertama tidak lama lagi, kerisauan tetap hadir memenuhi ruang hati dan fikiran. Ada banyak perkara yang membuatkan dia berfikir-fikir tentang albumnya.

“Ramai tanya bila saya akan lancarkan single baharu, kejutannya bukan sekadar satu lagu tetapi mini album tahun ini. Memang teruja bila ada satu album sendiri. Setakat ini, lagu dan muzik video sudah siap.

Ini adalah hadiah untuk peminat yang selama ini menyokong kerjaya saya sejak Big Stage lagi. Sampai sekarang, mereka tak putus-putus beri sokongan. Saya terharu dengan kasih sayang mereka.

“Tetapi jujur ada juga kerisauan. Adakah lagu-lagu ini akan diterima? Bagaimana reaksi peminat? Teruja dan risau dalam pada masa yang sama,” ujarnya yang popular dengan lagu Sutera.

AISHA teruja menghadiahkan mini album buat peminat yang setia menyokongnya selama ini.

 

Gadis berusia 22 tahun itu sendiri mengakui jalur dan konsep muziknya mungkin sukar untuk diterima oleh peminat muzik. Ada yang beranggapan jaluran muziknya terlalu urban.

Dedah Aisha, dia sendiri pernah dinasihat beberapa pihak untuk mencuba menukar konsep muzik supaya lebih mudah untuk diterima dan dekat dengan pendengar. Tetapi baginya, itu satu kritikan positif.

Memang ada yang cakap muzik saya terlalu ke depan. Urban sangat untuk pasaran muzik tempatan. Bukan tak boleh terima, cuma sukar. Kita lihat ramai artis yang bergerak dalam jalur muzik sama, perjalanan mereka juga sukar.

“Tetapi saya terima dan terbuka dengan kritikan tersebut. Saya tidak mahu terlalu meninggi diri dan hanya mendengar kata hati sendiri. Saya perlu terbuka untuk terima nasihat orang yang lebih arif.

“Jadi, untuk album pertama, ini adalah naskhah terbaik untuk mereka yang sedang galau. Lagu-lagu balada yang bercerita tentang hati, rindu dan cinta,” ujar anak penyanyi era 80-an, Jean Retro Aryani.

Berjaya meraih tempat ketiga ketika menyertai Big Stage musim keempat belum menjadi tiket ekspres untuk penyanyi Mengikat Jiwa itu terus meraih populariti segera. Dia masih cuba menggapai dahan untuk berpaut.

Percaya dengan rezeki dan aturan Tuhan, Aisha bagaimanapun tidak mahu terlalu larut dengan idealogi menjadi penyanyi itu harus popular seantero dunia. Dia tahu, itu bukan satu kerja mudah dan bonus jika berjaya menggapainya.

Saya tak pernah terfikir untuk terus popular, kerja ‘back to back’ selepas Big Stage. Bagi saya, masing-masing ada jalan sendiri. Rezeki itu ada di mana-mana. Kalau tidak sekarang, mungkin masa depan.

‘Kita tidak tahu kan? Lihat sahaja kejayaan abang Bell Ngasri dan Kak Lina Pom Pom. Berpuluh tahun dalam industri seni, akhirnya mereka menerima trofi. Tetapi bukan itu tujuan saya jadi artis.

“Seperti saya cakap, bonus jika kita popular. Cukup sekadar peminat menghargai muzik dan memberi saya semangat untuk terus bergerak serta berkarya,” ujarnya. – SUMBER UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok