[VIDEO] Mission Impossible 7 bukti Tom Cruise masih hebat

SEKALI lagi Tom Cruise tidak menghampakan. Itu antara buah fikiran yang terdetik dalam minda usai menghabiskan tontonan filem terbaharunya, Mission: Impossible – Dead Reckoning Part One.

Filem ketujuh francais Mission Impossible itu cukup segala-galanya. Aksi, drama, permainan karakter dan yang paling penting, karya tersebut nyata berada pada liga tersendiri dengan nuansa yang tidak tercapai dek akal fikiran.

Tom Cruise, pada usia 61 tahun membuktikan tiada apa yang mustahil untuk dikerjakannya dalam layar perak. Dia ingin terbang keluar daripada pesawat di langit, dijayakannya sendiri dengan kudrat sepenuhnya. Ingin berlumba dengan kepantasan kereta api, dia tanpa cela menjayakan babak tersebut dalam filem.

Ketika banyak pihak lebih percayakan ‘tipu daya’ teknik janaan komputer (CGI), Cruise menderu laju terjun dengan motosikal dari pergunungan tinggi. Babak berkenaan dalam sekuel kali ini dijayakan tanpa bantuan stuntman ataupun CGI.

Memang usaha kelas A daripada bintang bernama Tom Cruise yang sememangnya terbilang.

Antara babak cemas yang dilakukan sendiri Cruise tanpa menggunakan khidmat pelakon lagak ngeri.

Plot luar biasa

Dari segi jalan cerita atau plot, filem kali ini yang turut dinamakan Mission Impossible 7 memang bijak. Bijak bermain dengan emosi dan adjektif tersebut juga terlekat dengan nilai-nilai penting lain seperti pusingan plot atau plot twist.

Pengarah, Christopher McQuarrie cakna benar dengan signatur Mission Impossible yang jalan ceritanya memang pantas dan membuatkan adrenalin audiens membuak-buak mahu tahu apa akan berlaku seterusnya.

McQuarrie seperti biasa, memberikan hasil pengarahan berkelas top-tier dan magis sentuhan yang tidak dinafikan menjadi sebab, mengapa Mission Impossible menjadi antara francais filem paling berjaya di dunia sehingga sekarang.

Bab sinematografi atau ciri bersangkut pergerakan kamera pula memang tidak terjangkau.

Banyak adegan yang akan memang akan bersemi dan dingati dalam lipatan sejarah dunia perfileman global.

Naskhah hebat ini menjanjikan kepuasan apabila bukan sahaja memaparkan naratif sarat aksi bahkan persembahan barisan pelakonnya dipuji ramai.

Terjemahan karakter hebat

Dari segi terjemahan karakter, memang tidak dinafikan filem kali ini adalah antara yang terbaik pernah dihasilkan.

Ethan Hunt lakonan Cruise masih sama – handal beraksi, bijak dan pada masa sama, penuh karisma. Terbayang, kalaulah Cruise sudah tiada suatu hari nanti, siapalah agaknya yang akan mengisi kekosongan menggantikannya. Memang tiada tolok ganti.

Watak Benji dan Luther juga mengisi tempat dengan cemerlang. Jika tanpa mereka dua, persembahan Ethan juga mungkin kurang bertaring.

Watak baharu yang mencuri tumpuan kali ini adalah Grace yang dijayakan aktres jelita, Hayley Atwell.

Grace diperkenalkan sebagai penyeluk saku, namun dari masa ke masa dalam filem, karakternya berkembang cukup indah sehingga menyertai pasukan Ethan bersama The Impossible Mission Force (IMF).

Menerusi francais ketujuh ini, Cruise bergandingan dengan Hayley Atwell yang membawakan watak penyeluk saku bernama Grace.

Bagaimana pula dengan persembahan atau prestasi villain kali ini? Esai Morales sebagai Gabriel melunaskan bahagian tersebut sebaik mungkin, menjadi karakter digeruni ramai itu sungguh hebat.

Ada banyak perkara yang berlaku dalam Mission Impossible 7.  Hanya sepasang kunci yang ‘berkuasa’ memecah-belahkan dunia dan misteri kapal selam fiksyen menjadi fokus penceritaan.

Apa pun, tanpa tontonan di pawagam, membawa ulasan tentang Mission Impossible 7 sebenarnya membuatkan kalian ketinggalan jauh. Ketinggalan menyaksikan persembahan terbaik Tom Cruise dan barangkali, antara filem terhebat tahun ini.

Tidak sabar juga menanti sambungannya, Mission: Impossible – Dead Reckoning Part Two tahun hadapan.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok