Mierul Aiman teruja guna senjata api

DALAM tempoh yang singkat pendatang baharu, Meirul Aiman berjaya mengumpul ramai pengikut menerusi naskhah popular Projek: High Council sekali gus meletakkan namanya antara pelapis muda dalam dunia lakonan.

Sebut sahaja namanya, kelibatnya memang tidak boleh lari daripada bayangan karya bernuansa aksi dan lasak yang menjadi kecenderungannya.

Tidak kisah jika dilabel sebagai pelakon ‘aksi’, Mierul atau nama lengkapnya Mohammad Amirul Aiman Norazman, mengakui, itulah impiannya sedari kecil.

Sejak kecil memang saya sudah berangan-mahu menjadi seorang pelakon lasak. Itu adalah antara impian saya.

“Saya masih ingat lagi, filem aksi pertama yang saya tonton adalah filem berjudul Apocalypto.

“Sejak daripada situ, saya berkata pada diri sendiri bahawa saya mahu menjadi seorang pelakon naskhah aksi suatu hari nanti,” katanya.

Jejaka berusia 23 itu berpendapat, genre aksi bukan melibatkan babak pertarungan semata-mata, namun mengandungi pelbagai elemen emosi untuk diterjemahkan.

“Naskhah aksi bukan semata-mata melibatkan babak lasak dan pertarungan. Tetapi turut mempunyai banyak perasaan.

Selain membawakan aksi lasak, saya juga suka bawakan watak yang boleh menampilkan sisi matang dalam lakonan,” ujar anak kelahiran kelahiran Putrajaya itu penuh makna.

Sebagai pelakon yang masih muda, Mierul puas jika dapat melakukan sendiri babak aksi yang dimainkan dalam mana-mana karya.

Dengan melakukan sendiri aksi lasak, dia dapat menilai dan memahami nilai tambah yang dalam dirinya sebagai seorang pelakon.

Sebagai pelakon, kepuasan saya hadir apabila dapat melakukan sendiri babak aksi. Sementara masih muda, sihat dan ada kudrat sendiri, saya rela lakukan sendiri.

“Pada masa sama, saya mahu lihat tahap kemampuan diri. Saya baru beberapa tahun menapak dalam bidang lakonan.

“Saya gembira bila kehadiran saya diterima baik orang dalam industri,” katanya.

MENERUSI watak Ghazi, Mierul cuba bina karakter tersendiri agar berbeza daripada apa yang dipaparkan dalam versi Korea Selatan.

Jadi pengawal peribadi

Terbaharu, bekas juara program Hero Remaja 2021 itu bakal muncul dengan sebuah siri baharu yang diadaptasi daripada sebuah drama Korea Selatan.

Dalam siri penstriman Viu, W: Two Worlds tersebut, Mierul memegang watak sebagai seorang pengawal peribadi bernama Ghazi.

Menganggap watak yang dibawakan mempunyai cabaran sendiri, Mierul akui perlu bijak untuk membawakan watak tersebut dengan cara tersendiri supaya ‘lari’ daripada karakter asal yang pernah disaksikan dalam versi Korea Selatan.

“Dalam W: Two Worlds, saya memegang watak sebagai Ghazi, iaitu seorang pengawal peribadi kepada Aliff, lakonan Hun Haqeem.

Ghazi merupakan figura yang serius untuk menjaga majikannya. Membawakan watak ini memang agak mencabar juga kerana saya perlu tampil berbeza dengan karakter asal.

“Saya tidak boleh meniru cara gurau antara majikan dan pengawal peribadinya, sama seperti cerita Korea sebab akan jadi janggal,” ujarnya.

Mierul juga berkongsi rasa teruja apabila turut berpeluang bermain senjata api dan perlu menjalani latihan selama sebulan demi kelestarian watak seorang pengawal peribadi.

“Kalau ikut cara drama Melayu, gurauan yang ditonjolkan perlu kasar. Kalau ‘manja’ pun tidak boleh berlebihan.

“Saya juga teruja apabila berpeluang untuk menggunakan senjata api dan perlu menjalani latihan selama sebulan bersama pelakon lain,” tutupnya.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok