Menjelang seminggu nikah, ubai kehilangan ibu tercinta

PEMERGIAN ibu tercinta pempengaruh media sosial, Ubai mendapat perhatian ramai apabila tinggal seminggu sahaja lagi dia dan tunangnya, penyanyi Shila Amzah bakal disatukan sebagai suami isteri.

Menerusi Instagram, Ubai atau nama sebenarnya Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, 25, memaklumkan ibunya, Rohani Jamal meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat kanser ovari pukul 6.45 petang semalam.

“Salam semua, mak saya baru sahaja menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.45 petang tadi (semalam),” tulisnya.

Menerusi medium sama, Ubai turut menzahirkan rasa kasih serta penghargaan terhadap insan paling penting dalam hidupnya itu.

Hilangnya doa seorang ibu. Berat dugaan ini untuk Ubai, tapi Ubai reda. Berehatlah mak. Mak seorang ibu yang baik, semua orang senang dengan mak.

“Ubai ingat semua pesanan mak. Ubai tak pernah lupa. Terima kasih mak, sebab jadi tempat Ubai mengadu, minta nasihat. Ubai janji akan jaga adik-adik semua,” luahnya.

Allahyarham yang menghidap kanser ovari tahap tiga dimasukkan ke hospital berikutan pendarahan dalam rahim pada 8 Julai lalu.

Namun keadaan kesihatannya terus merosot sejak Isnin usai menjalani prosedur kelima rawatan radioterapi hingga perlu ditidurkan.

Sekitar awal tahun ini arwah menjalani produser membuang rahim berikutan penyakitnya.

Terdahulu, Ubai dan Shila mengikat pertunangan pada 27 Mei lalu dan difahamkan majlis pernikahan mereka bakal berlangsung dalam tempoh terdekat.

Shila yang berkongsi kesedihan atas pemergian bakal ibu mentuanya itu di Instagram mendedahkan hanya tinggal seminggu sahaja lagi menjelang tarikh pernikahannya dan Ubai.

Mak, terima kasih atas pinjaman waktu ini. Lagi seminggu saja mak. Selamat majlis Ubai dan Sha. Mak adalah mak yang baik dan penyayang.

“Sha sayang mak. Selamat pergi ke negeri abadi,” tulisnya dalam laman sosial yang disertakan gambar bersama arwah pada majlis pertunangannya.

Menurut Shila sebelum ini, sebarang perkara berkenaan tarikh atau perincian hari bahagia mereka juga bergantung kepada keadaan kesihatan bakal ibu mentuanya.

Malah pemilik nama lengkap Nurshahila Amir Amzah itu, ibu Ubai juga antara yang teruja menunggu detik mereka disatukan.

Urusan solat jenazah disempurnakan di Masjid As-Salam Taman Sri Manja, manakala pengebumian di Bukit Tandang Petaling Jaya, di sini, malam tadi.
– HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok