Mat London sudah tiada

PRESIDEN Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim atau Mat London menghembuskan nafas terakhir pada usia 74 tahun akibat pelbagai komplikasi penyakit di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur (HKL), pukul 5.57 pagi tadi

Berita pemergian penerbit dan pengarah itu disahkan anaknya, Salmany Akir Ahmad menerusi Facebook.

“Sesudah laungan azan subuh papa menghembuskan nafas terakhir di hening pagi yang masih sepi di pagi Jumaat,” tulisnya di dalam

Semalam, Salmany turut berkongsi perkembangan terkini baoanya yang dalam keadaan nazak menerusi laman sosial sama.

“Malam ini agak suram dan syahdu. Di kala nak menaip posting ini pun jari jemari terketar-ketar.

“Papa dah tenat dan nazak. Saya mohon semua doakan papa. Papa baik orangnya. Ramai orang senang, sayang dengan Papa.

“Malam ini, saya tengok papa sudah semakin lemah. Bacaan surah Yassin yang termampu buat untuk papa.

“Kami, anak-anak, menantu dan cucu semua sayang Papa. Kami doakan Papa,” kongsinya.

Menurut Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), jenazah akan dibawa ke Masjid Taman Melawati, pagi ini.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan selepas solat Jumaat, hari ini.

Mat London yang juga pelakon dimasukkan ke HKL sejak 16 Jun lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Dalam tempoh rawatan, arwah bergantung sepenuhnya dengan mesin oksigen dan berada di dalam wad pengasingan ICU, selain mengalami pelbagai komplikasi penyakit lain.

Produksi terakhir yang dibintanginya adalah Kampong Pisang Bersiri-Siri arahan Allahyarham Mamat Khalid pada tahun 2020.

Allahyarham pernah mendirikan rumah tangga dengan dramatis, Datin Fadilah Mansor selama 20 tahun, namun berpisah pada 28 September 2012. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua orang anak. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok