Lempar ayat kejam, Zuhairi menangis Shuib maafkan

 

“Ayat kejam itu saya kongsi daripada individu lain, tapi tak sangka Shuib maafkan,”

Demikian luahan pekerja swasta, Zuhairi Abu Othman yang menyebar fitnah mengenai kematian isteri kepada pelawak dan penyampai radio terbabit adalah sebahagian daripada dakyah Freemason.

Lelaki berusia 35 tahun itu turut menitiskan air mata kesal sebaik Shuib atau nama sebenar, Shahmira Muhammad memaafkan kekhilafan dirinya ketika mereka berpelukan tanda perdamaian.

“Saya minta maaf kepada Shuib di atas kekhilafan yang telah saya lakukan tanpa menyedari impaknya kepada Shuib sekeluarga

“Sebenarnya saya hanya menyebarkan tulisan tersebut yang diambil daripada pengguna lain dan silap saya tidak tulis nama akaun tersebut.

“Saya benar-benar minta maaf, menyesal dan mengambil pengajaran serta tanggungjawab atas apa yang telah berlaku,” kata Zulhairi dalam pertemuan hampir sejam itu.

Berlangsung di premis perniagaan milik Shuib di Cheras, perjumpaan itu turut disaksikan kira-kira 20 wakil media dari pelbagai agensi.

Kata Zuhairi, dia tidak menyedari hantaran dimuatnaik meraih ratusan komen yang turut sehingga mencetuskan pelbagai respons negatif.

“Masalah yang saya timbulkan ini memang saya kena hadap sebab beri kesan kepada banyak pihak termasuk keluarga sendiri.

“Saya betul-betul menyesal. Insiden ini jadi pengajaran kepada saya yang menggunakan ayat melampau,” katanya lagi.

Berikutan itu, Zuhairi yang mengakui peminat kumpulan Sepahtu mendedahkan sudah memadam hantaran berkaitan Freemason dan  menutup akaun media sosial miliknya.

“Apabila bangun pagi, macam-macam komen masuk. Saya padam dan tutup terus akaun sebab enggan mengeruhkan lagi keadaan.

“Apabila Shuib hubungi saya dan keluar namanya menerusi ‘true caller’, saya angkat telefon dan mohon maaf. Apabila hantaran itu tular, saya memang mahu hubungi Shuib,” tambahnya yang mengakui cuba mendapatkan nombor telefon Shuib dari Syukri Yahaya.

Zuhairi juga tidak ketinggalan mengingatkan orang ramai jangan sesuka hati menabur fitnah seperti dilakukannya.

Sementara itu, Shuib mengakui memaafkan dan tidak akan meneruskan saman terhadap Zuhairi.

“Saya maafkan  dia kerana dia berani, beradab, ada usaha untuk bertemu dan mengakui kesalahannya.

“Saya pun manusia biasa dan punya perasaan. Walaupun tuduhan yang dilemparkan itu sangat melampau, saya maafkan dia kerana sikapnya juga,” kata Shuib.

Terdahulu, Shuib mendedahkan hantaran Facebook seorang individu yang mengaitkan dirinya dengan Freemason apabila mendakwa Siti Sarah dipaksa untuk ditidurkan ketika dijangkiti Covid-19 sebelum meninggal dunia dua tahun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok