Lagu zaman sekarang sekadar ada- Anuar Zain

KEMBARA seni penyanyi bersuara emas ini cukup indah susunannya. Bermula pada usia 13 tahun, nama Anuar Zain menjadi siulan ramai terutama peminat cilik apabila tampil dengan album bersama rakan duetnya, Ellina.

Kain Pelikat dan Suasana Hari Raya, dua lagu berhantu malar segar sehingga kini sekali gus membuktikan betapa hebatnya pesona putera kepada pasangan Zain Abdullah dan Robiah Abdul ini di gelanggang seni tanah air.

Bahkan, sedekad menghilang kerana terikat dengan tugasan di awan biru sama sekali tidak membuatkan namanya dilupakan. Ramai ternanti-nanti bilakah adik kepada penyanyi terkenal Ziana Zain akan membuat kemunculan semula.

Dan, sekembalinya beliau pada 1998, satu persatu kejayaan dilakar penghibur kegilaan ramai ini. Album berjudul Anuar Zain yang memuatkan deretan lagu hebat antaranya Bila Resah dan Jangan Bersedih Lagi  bukan sahaja sukses di pasaran bahkan melonjakkan beliau sebagai Artis Baharu Terbaik dan Vokal Lelaki Terbaik di pentas Anugerah Industri Muzik (AIM).

Pantas masa berlalu. Sehingga kini Anuar masih kekal sebagai antara penyanyi berprofil tinggi, malah tidak berlebihan jika turut digelar penghibur ‘eksklusif’.

ANUAR antara bintang yang bijak menjaga nilai eksklusif sehingga mampu bertahan hingga ke hari ini.

Bagaimanapun, selepas kali terakhir  ‘meletup’ dengan lagu berjudul Andainya Takdir sekitar 2016, sehingga kini penyanyi berusia 53 tahun itu tiada buah tangan baru kerana belum menemui material terbaik.

Setiap tahun saya cakap akan keluar dengan lagu baharu. Tapi hujung-hujung senyap (tak jadi) sebab belum jumpa material sesuai.

“Saya perhatikan, kebanyakan lagu sekarang sekadar lagu. Saya mahukan lagu yang ada drama (penceritaan) dari segi melodi dan lirik. Saya sukakan sesuatu yang dramatik. Saya bukannya cerewet, cuma seorang yang teliti,” tegasnya yang bakal mengadakan konsert solo kelima, Anuar Zain 40th Anniversary Concert di Stadium Malawati Shah Alam pada 28 Oktober nanti.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok