Konsert ulang tahun di Kuala Lumpur ubati rindu Repvblik

KERINDUAN band Indonesia, Repvblik untuk beraksi di Kuala Lumpur selepas kali terakhir berkunjung ke negara ini hampir sedekad lalu bakal terubat pada 11 Ogos depan.

Vokalisnya, Ruri atau Ruri Herdian Wantogia menyifatkan kembali ke Malaysia dengan sebuah konsert yang bakal berlangsung di Zepp KL sebagai detik yang ditunggu-tunggu sekian lama.

Sudah tentu kunjungan Repvblik kali ini sangat istimewa kerana sudah lama kami tidak bertemu peminat di negara ini apatah lagi Repvblik akan memperdengarkan sebuah lagu berjudul Sandiwara Lagi.

“Dendangan galau ini adalah bersandarkan pengalaman sebenar episod cinta yang pernah saya lalui.

“Harapan kami, Konsert 19th Anniversary Repvblik Live in Kuala Lumpur ini mencipta satu lagi memori manis buat peminat,” katanya mengenai persembahan mega anjuran Aytie Management dan Boomset Planning itu.

Selain lagu baharu, kumpulan yang memperjuangkan genre rock alternatif dan pop rock itu dijangka membawakan 16 katalog hit termasuk Sandiwara Cinta, Selimut Tetangga dan Sayang Sampai Mati.

REPVBLIK dijangka menghiburkan pengikut setia mereka dengan16 lagu hit.

Menurut Yuri, 39, mereka juga tidak sabar meraikan detik mencecah dua dekad dalam industri muzik pada tahun hadapan dengan peminat Malaysia.

Selain Yuri, band asal Bogor itu turut dianggotai Lavy (bass), Tyar (keyboard dan vokal kedua) serta Ei (gitar utama).

Tidak hairan apabila masing-masing mengakui proses pemilihan lagu agak mencabar demi menyajikan seleksi lagu terbaik daripada lapan album studio sejak kemunculan dalam industri muzik pada 2004.

Kami bersyukur lagu Repvblik masih menjadi siulan hingga kini sekali gus diingati ramai. Ini juga satu penghargaan serta menguatkan semangat kami untuk terus memberikan yang terbaik,” tambah Tyar pula.

Nyata kumpulan itu terus mengekalan kedudukan antara band muzik terbaik yang pernah ada dalam sejarah industri hiburan Indonesia.

Bagi yang ingin bersama mencipta sejarah manis Konsert 19th Anniversary Repvblik Live in Kuala Lumpur, tiket kini boleh diperoleh menerusi ticket2u.com.my/Repvblik.

Harga tempat duduk bermula dengan harga serendah RM155, RM255, RM295, RM365, manakala VIP Box pada kadar RM4,800. – HibGlam

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok