Jadi Ikon Muzik, Sheila Majid terharu

HAMPIR empat dekad mendedikasikan diri dalam dunia nyanyian, Datuk Sheila Majid menzahirkan kesyukuran apabila diangkat sebagai Ikon Muzik.

Ujarnya, anugerah yang diberikan McDonald’s Malaysia sempena kempen #IconMeetsIcon Hari Kentang Goreng Antarabangsa tersebut menjadi satu simbolik pengiktirafan terhadap seluruh penggiat seni.

“Pengiktirafan daripada restoran makanan segera yang mempunyai rangkaian seluruh dunia itu menjadi bukti industri hiburan kita menyuntik inspirasi kepada semua.

Saya terharu kerana ini bukan pengiktirafan terhadap saya seorang tetapi seluruh penggiat seni termasuk penyanyi lain, pemuzik dan komposer.

“Dianggap sebagai ikon muzik adalah satu penghormatan besar,” katanya selepas majlis Mc Donald’s Malaysia menerima sijil Malaysian Book of Records (MBOR) di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada acara istimewa itu, paparan ‘Kentang Goreng Tertinggi di Malaysia’ menghiasi menara ikonik terbabit bermula antara pukul 8 malam hingga 11.59, pada sabtu lalu.

Sheila diundang menyaksikan detik menara setinggi 421 meter atau 1,381 kaki itu ditransformasi menjadi kentang goreng bersaiz gergasi dan menerima plak pengiktirafan daripada Naib Pengerusi dan Ketua Pegawai Pemasaran, McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai.

Ratu Jazz itu turut merancakkan malam itu dengan menyanyikan tujuh lagu popularnya termasuk Warna, Dia serta Antara Anyer & Jakarta.

Lebih 200 jemputan yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan lapisan usia tidak melepaskan peluang menyanyi bersama Sheila sekali gus membuktikan pemilihan penyanyi legenda itu sebagai ikon muzik memang tepat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok