Ismahalil sujud syukur dapat jumpa ibu, walikan anak

BEKAS penyampai radio (DJ), Ismahalil Hamzah menzahirkan rasa syukur kerana hajat untuk menjadi wali kepada puteri sulungnya, Saidatul Nadia akhirnya tercapai.

Selain itu Ismahalil, 50, juga terharu apabila hasratnya untuk bertemu ibu tercinta, Salbiah Mat Noor, 88, yang kini sakit dapat dilunaskan.

“Anak saya akan bernikah pada bulan 10 (Oktober). Alhamdulilah, saya dapat jadi wali pada majlis pernikahan dia nanti.

“Mak saya pula sakit, saya nak jumpa dia dulu nanti,” katanya ketika ditemui selepas dibebaskan.

Dalam pada itu, Ismahalil turut memaklumkan akan berkongsi pengalaman suka duka dua tahun bergelar tahanan di penjara Sungai Buloh.

Dua tahun yang penuh pengajaran. Banyak yang saya belajar dan tak mungkin saya boleh bercakap dalam tempoh sesingkat ini. Bagi sedikit masa, saya akan kongsi dengan semua apa yang saya lalui dalam penjara,” katanya.

Sementara itu. Saidatul Nadiah, 27, ketika ditemui berkata, pembebasan bapanya pada hari ini merupakan hadiah bermakna buat dirinya dan keluarga.

“Ini hadiah bermakna buat saya sebab bakal berkahwin tak lama lagi,” jelasnya.

Terdahulu, Ismahalil menangis dan sujud syukur selepas dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur  atas pertuduhan mengedar dadah dua tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap pengasas `Bapakku FM’ berkenaan selepas pihak pembelaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mengikut pertuduhan, Ismahalil, 50, didakwa mengedar kanabis seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju pukul 5.35 petang pada 27 Ogos 2021.

Berikutan itu, pendakwaan mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Sepanjang prosiding perbicaraan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad manakala Ismahalil diwakili peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar dan Adi Zulkarnain Zulkafli. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok