Hidup saya membosankan – Alicia Amin tiada kekasih

SOALAN tentang cinta sudah menjadi adat buat wanita, cantik, apatah lagi bergelar selebriti popular.

Seperkara yang kurang hebat impak memancing perhatian orang adalah status sosial dipegang. Status janda, anak dara tua  atau pun duda terhangat, antara yang paling mudah menarik minat tak kira siapa.

Sama seperti Alicia Amin ini. Usai tempoh edah, pelakon dan model tinggi lampai itu sebenarnya enggan terlalu bercerita soal isi hati, apatah lagi jika ada misi mencari pengganti bekas suami, Dr. Farzan Iqbal.

BUAT masa sekarang Alicia mengakui masih solo tanpa kekasih dan belum merancang untuk mencari pengganti bekas suami.

Alicia atau nama lengkapnya, Raja Alicia Raja Amin lebih selesa berbicara tentang perjalanan karier lakonannya yang semakin bercambah dan menampakkan hasil.

Sungguhpun begitu, jelitawan berusia 28 tahun itu tidak lokek berkongsi sisi peribadi kerana baginya, selagi menggalas peranan atau status selebriti, setiap inci tindak-tanduknya pasti menjadi sorotan khalayak.

“Buat masa sekarang, memang saya tidak bercinta dengan mana-mana lelaki. Lagipun, baru sahaja habis tempoh edah dan saya tidak mahu terlalu mencanang perihal yang masih tiada hujung pangkal.

SEDAR diri dan ruang. Sebagai pelakon dan figura popular, Alicia percaya bahawa segala tindak-tanduk pasti tidak terlepas daripada menjadi percakapan orang sekeliling.

Mahu teman muda

“Saya selesa dengan kehidupan sekarang yang masih sendiri. Berstatus janda, itulah realitinya saya sekarang.

 

“Tidak kisahlah orang ingin berkata apa pun dan bertanggapan wanita janda itu sesuatu yang bersifat negatif, itu terpulang.

 

“Untuk saya sebagai wanita mandiri atau independen, memang tiada masalah langsung dengan gelaran diberikan masyarakat itu,” kongsinya kepada Pose.

Hanya sempat bergelar isteri untuk tempoh singkat iaitu sekitar dua tahun tanpa cahaya mata, anak seni kelahiran Johor Bahru itu bagaimanapun tidak menolak andai jodoh lain datang dalam waktu terdekat atau harus ditunggu lebih lama.

“Kalau tanya bagaimana kehidupan saya sekarang, tidak banyak yang boleh dikongsikan sebab memang membosankan.

Kalau ingin divisualkan dalam bentuk drama, memang tak laku.

“Saya masih tiada teman lelaki seperti apa yang saya beritahu awal tadi. Tetapi, semestinya saya ingin hidup berteman seperti dahulu.

BERPANDANGAN jauh, Alicia melihat industri seni kreatif sebagai sumber ekonomi yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara.

“Kalau boleh, saya inginkan boyfriend (teman lelaki) muda,” katanya tertawa.

Selepas bercerai dengan Farzan pada 1 Mac lalu, Alicia mengakui kehidupannya sedikit sunyi, namun dia semakin mengerti makna kehidupan dan mendepani apa yang mendatang dengan lebih rasa tanggungjawab.

“Saya tidak pernah menyesal berkahwin, namun apa yang terjadi membuatkan saya lebih matang dalam membuat keputusan.

“Matang dalam mendahulukan kebahagiaan sendiri sebelum berfikir tentang orang lain,” tutur Alicia yang merupakan pemegang ijazah jurusan Psikologi Dalam Kerja Sosial dari Universiti RMIT, Melbourne, Australia. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok