Hidap sakit buah pinggang, berat Korie susut 16kg

PENYANYI dan komposer, Korie susut berat badan sebanyak 16 kilogram selepas menghidap penyakit buah pinggang tahap tiga sejak Ogos 2021.

Korie atau nama lengkapnya Azahari Aminuddin, 54, berkata, penyakit tersebut mula dikesan selepas dua kali mengalami sesak nafas sebelum diserang angin ahmar sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital.

Doktor sahkan penyakit ini pada Ogos 2021, bagaimanapun masih belum perlu menjalani rawatan dialisis dan hanya mengamalkan diet pemakanan yang sihat.

“Syukur saya tidak menghidap sebarang penyakit lain,” katanya kepada HibGlam selepas sidang akhbar Asli Battle of the Bands di sini, hari ini.

Berikutan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, adik kepada Ratu Rock Negara, Ella itu mengakui terpaksa menolak beberapa tawaran kerja.

Sejak menghidapi masalah buah pinggang, kehidupan memang agak terganggu dan terpaksa menolak beberapa tawaran persembahan dalam tempoh dua tahun ini.

“Suara tidak terkesan tetapi penafasan agak terganggu dan jadi cepat letih,” katanya lagi.

Meskipun menghidapi penyakit kronik, Korie tetap perlu mencari rezeki bagi menampung perbelanjaannya dan anak perempuan yang kini berusia 18 tahun.

“Sebagai bapa tunggal, saya kena bekerja demi kelangsungan hidup.

Pun begitu, syarat saya untuk setiap tawaran persembahan buat masa ini ialah menyanyi satu hingga dua lagu sahaja kerana tenaga tidak kuat lagi.

“Mujurlah ada duit royalti yang saya simpan sedikit, bolehlah guna untuk rawatan dan menanggung kehidupan,” jelasnya.

Hari ini, Korie diumumkan sebagai ketua juri untuk pertandingan Asli Battle of the Bands, yang juga program pencarian bakat etnik Orang Asli di Selangor.

Sesi uji bakat dan saringan serta siri jelajah bagi mencari bakat terpendam dalam kalangan Orang Asli bakal bermula 26 Ogos depan melibatkan lima daerah di seluruh Selangor iaitu Hulu Selangor, Gombak/Petaling, Klang, Hulu Langat dan Sepang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok