Gempar air mata Jackie Chan gugur, peluk anak perempuan

SEBUAH video meruntun jiwa pelakon legenda Hong Kong, Jackie Chan menangis teresak-esak bersama seorang remaja perempuan didakwa anaknya kini tular dalam laman sosial terutama, Twitter.

Menerusi video berkenaan, Jackie menonton semula babak-babak aksi ngeri atau stunt yang pernah dijayakan ketika awal kemunculan dalam dunia lakonan.

Melihat aksi pilu pemilik nama sebenar Chan Song Kang, 69, dengan air mata bercucuran dalam video berkenaan, ramai peminat membuat andaian bahawa remaja terbabit adalah darah dagingnya sendiri yang sudah lama terpisah.

“Adakah ketika menjayakan babak itu, anda berada dalam kesakitan?,” soal remaja berkenaan.

Chan menjawab ringkas: “Sangat.”

Papa, you’re awesome (anda memang hebat),” puji remaja itu sebelum membuatkan air mata Chan terus berderaian dan mereka sama-sama berpelukan saling tak tumpah seperti anak-beranak.

Rupa-rupanya, remaja itu bukanlah darah daging Chan dan babak yang tular dalam Twitter sekadar adegan dalam sebuah filem.

Remaja dalam video berkenaan dikenal pasti pelakon bernama Liu Haocun.

Realitinya, Chan sudah terpisah dengan anak perempuannya, Etta Ng Chok Lam yang merupakan seorang lesbian.

Chan dikatakan berdepan konflik dengan Etta yang berpunca daripada isu seksualiti serta hubungan dingin dengan ibu kandung anaknya itu.

Difahamkan, Etta kini selesa sebagai gelandangan disebabkan gaya hidup songsang yang diamalkan sehingga Chan sendiri tidak mengaku anaknya itu darah dagingnya.

Setakat artikel ini ditulis, klip video yang dimuat naik dalam Twitter oleh seorang pengguna bernama @NateMensah_ sudah meraih lebih 7.7 juta jumlah tontonan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok