Detik hadiah Mark Adam buat Angelica Petra 

BANGGA dengan kebolehan Angelica Petra menguasai pelbagai genre muzik, komposer dan penyanyi Mark Adam menghadiahkan lagu Detik kepada anak didiknya itu.

Dijadikan single kedua penyanyi cilik berusia 11 tahun itu, Detik kini mula mendapat perhatian pencinta muzik tanah air khususnya anak remaja.

“Ketika mengajar, saya melihat kelebihan Angelica menyanyikan beberapa genre lagu dalam kelas.

Dia  pelajar yang rajin dan mempunyai rasa ingin tahu yang tinggi tentang muzik serta lagu.

“Sebagai penghargaan di atas kesungguhannya itu, saya hadiahkan dia single kedua berjudul Detik yang saya cipta sendiri,” katanya.

Sambung Mark atau nama lengkapnya, Fikri Mark Adam Abdullah, 44, idea menghasilkan Detik tercetus apabila negara melaksanakan Perintah Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19.

“Semasa PKP, ada yang berjauhan dengan ibu bapa, saudara-mara, suami atau isteri dan juga rakan-rakan. Senario ini memberi ilham kepada saya untuk menghasilkan Detik.

Lagu ini mengenai rasa rindu apabila terpaksa berjauhan. Apa yang ada pada ketika itu hanyalah memori untuk dikenang,” katanya.

Detik dilancarkan di semua platform digital bersama muzik video dalam YouTube D’Ayu Music pada 30 Jun lalu.

Meskipun masih baru, lagu itu sudah mula mendaki Carta lagu Baru Nak Up di stesen radia Era. -HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok