Daripada suntik botox, lebih baik bersedekah – Norish Karman

DITUDUH mengambil suntikan botox dan melakukan pembedahan plastik di bibir dan hidung untuk kelihatan cantik, pelakon Norish Karman tampil menjelaskan dia mewarisi genetik bapanya yang berbibir tebal.

Menurut Norish atau nama lengkapnya Nor’Ashikin Karman, lebih baik dia menggunakan wang untuk bersedekah kepada golongan memerlukan daripada menjalani prosedur mengubah wajah.

Saya tiada duit untuk buat suntikan atau pembedahan kecantikan. Hidung mancung kerana arwah umi (mak) ada keturunan Arab.

“Malah lebih baik guna duit untuk infaq kepada insan-insan memerlukan atau belanja anak-anak dan sahabat,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon asal Singapura itu mengakui takut dengan peralatan tajam dan tidak tahan sakit sekiranya mahu melakukan sebarang pembedahan.

Tidak. Saya tidak berani melakukan apa-apa yang membabitkan pisau. Hanya empat kali pembedahan melahirkan anak.

“Saya tidak boleh tahan sakit jika berbuat apa-apa berkaitan implan pada wajah.

“Tidak juga akan melakukan botox kerana saya hiperaktif sehingga tidak mampu tahan sakit,” ujar aktres berusia 49 tahun itu.

Bagaimanapun, Norish yang percaya dengan kecantikan semula jadi reda dan akan mendepani segala kecaman sekiranya masih ada yang melontarkan tuduhan melulu terhadapnya.

“Ya, saya tidak suka memakai maskara. Saya benci bulu mata palsu dan memang tidak pandai pakai.

“Macam-macam tuduhan saya redah dalam kehidupan. Pelbagai fitnah saya hadapi dengan senyuman.

“Segala macam pancaroba saya lalui dengan kesabaran yang tiada noktah,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok