Cipta kelainan, pentas lawak jadi konsert

BUAT julung kalinya, sebuah konsert berbentuk komedi bakal dipentaskan membabitkan gabungan pelawak hebat dari Malaysia dan Indonesia anjuran Ifix Studio dan Mesaton Ventures.

Konsert diberi nama Muzika Lawak Nusantara yang bakal diadakan pada 19 Ogos ini di Stadium Malawati Shah Alam itu  menyaksikan persembahan komedi oleh pelawak kumpulan Zero menggabungkan trio adik-beradik, Sharif, Atu dan Melati serta kumpulan Bocey (Achey dan Fad).

Turut menggamatkan pentas, pelawak seberang seperti Rina Nose, Sule dan Aziz Gagap.
Pengarah Mesaton Venture, Azroy berkata, objektif utama penganjuran Konsert Muzika Lawak Nusantara adalah untuk memberi penghargaan kepada pelawak di samping mengukuhkan lagi industri komedi antara kedua-dua negara.

“Objektif utama adalah untuk menghargai pelawak-pelawak dari Malaysia dan Indonesia sebab kebiasaannya, pelawak hanya dilihat pemain industri yang mengisi slot-slot kecil dalam televisyen.

“Tujuan penganjuran Konsert Muzika Lawak Nusantara juga adalah bagi mengetengahkan gabungan pelawak, sekali gus ingin menjadikan acara ini satu fenomena untuk industri komedi antara kedua-dua buah negara.

GABUNGAN dua penganjur, Ifix Studio dan Mesaton Ventures menjanjikan sebuah konsert komedi yang tidak kering gusi gabungan pelawak dari Malaysia dan Indonesia. – M. FIRDAUS M. JOHARI

Satukan dua negara

“Secara tidak langsung, gabungan ini akan menyatu serta mengukuhkan lagi ikatan antara Malaysia dan Indonesia,” ujarnya.

Pemilihan pelawak-pelawak terbabit adalah berdasarkan prestasi mereka di arena masing-masing selepas melalui sesi perbincangan dan pemilihan.

Tiga nama besar pelawak Indonesia dipilih memandangkan mereka mempunyai kelompok peminat tersendiri di Malaysia.

“Pemilihan Bocey dan Zero adalah kerana prestasi mereka yang pernah menjuarai program televisyen.

“Juga menjadi gabungan semula mereka di pentas yang berskala mega. Secara tidak langsung menampakkan konsep Nusantara yang ingin diketengahkan,” kata Azroy.

Tambahnya, konsep bagi konsert ini sememangnya berbeza berbanding konsert-konsert pernah dipentaskan sebelum ini.

Konsert Muzika Lawak Nusantara akan berlangsung selama lebih kurang dua jam yang akan terbahagi kepada empat segmen iaitu setiap satu segmen diberi masa selama 30 minit yang akan dihoskan pengacara terkenal, Datuk AC Mizal.

Tiket konsert boleh didapari menerusi https://www.ticket2u.com.my/event/31526/muzika-lawak-nusantara bermula daripada harga RM368 (VVIP), RM328 (VIP) RM188 (Red Zone), RM188 (Yellow Zone), RM188 (Purple Zone) dan RM128 (Blue Zone).

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok