Cintai suami orang? Shakilla Khoriri cari pemfitnah

Nama Shakilla Khoriri kembali hangat diperkatakan di media sosial apabila tersebarnya foto ‘mesra’ bersama seorang seorang ahli perniagaan didakwa suami orang.

Ketika dihubungi HibGlam, pelakon berusia 34 tahun itu menzahirkan rasa hairan mengapa gambar-gambar itu disebarkan semula individu terbabit sedangkan sudah lama berlaku.

“Isu bergambar dengan suami orang, tanya balik kepada si penyebar fitnah. Pasti ke dia itu suami orang? Itu gambar-gambar lama dari tahun lepas. Kenapa nak jadikan saya mangsa?”

“Kenapa gambar-gambar lama itu dikeluarkan semula? Jangan salah bual. Tentang gambar mesra dengan lelaki (didakwa suami orang) itu, saya akan jelaskan minggu depan,” katanya.

ANTARA gambar Shakilla bersama lelaki didakwa berstatus suami orang yang menjadi bualan hangat di media sosial.

Menurut ibu tunggal kepada seorang cahaya mata itu, buat masa ini dia memilih untuk berdiam diri kerana perlu fokus kepada perkara yang lebih penting membabitkan masa depan anaknya.

“Minggu ini adalah minggu yang sangat penting untuk masa depan saya dan anak. Jadi, saya tidak ada masa nak layan benda lapuk.

“Insya-Allah, minggu depan kalau saya rasa nak jelaskan, saya akan tampil membersihkan semula nama. Isu ini sudah lama, orang buat seolah-olah saya sebatang kara,” ujarnya.

Tambah pemilik nama sebenar Nurul Shakilla Mohd. Khoriri itu lagi, diam bukan bermakna bodoh sebaliknya dia enggan membuka aib sesiapa.

“Diam bukan sebab saya bodoh. Ramai minta saya untuk tampil jelaskan perkara sebenar.

“Saya boleh jelaskan, tapi saya tidak mahu londehkan kain yang elok dipakai. Saya tak nak orang itu terpalit dengan benda-benda yang tidak elok,” kata Shakilla.

Tidak berzina

Bintang drama Bukan Khadijah itu turut menafikan dakwaan dirinya pernah berzina dan menyifatkan tuduhan itu sangat melampau.

“Saya bukanlah baik sangat, tapi tidaklah sampai tahap buat perkara tidak sepatutnya. Ada yang menuduh saya berzina. Saya tidak buat semua itu.

“Biarlah orang nampak saya jahat, Allah SWT sahaja yang tahu apa yang berlaku. Kalau nak cakap tentang mesranya gambar yang tersebar itu, tidaklah sampai tahap saya berzina,” jelasnya.

Shakila beri amaran kepada individu yang memfitnahnya supaya bersiap sedia.

Jangan bermain dengan api

Sehubungan itu, Shakilla memberi amaran kepada penyebar fitnah supaya bersedia fizikal dan mental.

“Persiapkan fizikal dan mental sebab awak yang mulakan perkara ini. Apabila perkara ini berbalik kepada awak nanti, jangan salahkan saya.

“Kalau tak boleh tahan, jangan bermain dengan api. Saya tidak suka perkara ini diperbesar-besarkan.

“Sekiranya berterusan, bersedialah. Saya sedang cari orang yang curi gambar-gambar peribadi saya ini,” tegas Shakilla.

Kata Shakilla lagi, dia yakin penyebar fitnah itu adalah orang yang dikenalinya dan sengaja mahu menjatuhkan reputasinya sebagai pelakon.

Shakilla sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama penyampai radio, Fizi Ali pada 18 Februari 2028, namun berpisah pada Disember 2021.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Ameena Sofia yang kini berusia empat tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok