Carboot Sale DXN Cyberville medan selebriti bertemu peminat

BERNIAGA sambil beramah mesra dengan peminat antara pengisian acara Carboot Sale di DXN Cyberville, Cyberjaya kali keempat yang dianjurkan selama dua hari baru-baru ini.

Antara selebriti yang memeriahkan acara bersama produk jualan masing-masing terdiri daripada pelakon Siti Fazurina, Syed Ali dan juga penyanyi Fakhrul UNIC.

Siti Fazurina yang pernah popular dengan drama Puteri dan Dunia Anita menzahirkan rasa gembira apabila keputusannya menyertai jualan Carboot Sale DXN Cyberville menjadi medan bertemu dengan peminat yang masih mengenali dirinya.

SITI FAZURINA gembira apabila produk minuman jenama Minom miliknya jadi tumpuan pengunjung.

Menurut Siti Fazurina, dia yang pada mulanya hanya sekadar suka-suka tidak menyangka jualan minuman jenama Minom miliknya mendapat sambutan.

Ini kali pertama dan memang saya tidak sangka seronok berniaga di Carboot Sale ini. Jualan hari pertama pun okey, tetapi hari kedua semua buah-buahan untuk smoothie telah habis.

“Dalam masa sama saya yang sudah jarang-jarang muncul di televisyen seronok apabila dapat juga bertemu peminat,” kongsinya yang turut memiliki syarikat produksi sendiri.

PELBAGAI aktiviti menarik disediakan buat pengunjung termasuk kanak-kanak.

Dalam pada itu, pelakon dan usahawan, Syed Ali yang sudah kali ketiga menyertai penganjuran Carboot Sale itu menyifatkan acara terbabit medan terbaik untuk para usahawan kecil mengembangkan lagi jenama masing-masing.

“Memang seronok dapat menyertai acara ini sebab selain dapat menjual dan mempromosikan produk pewangi fabrik keluaran saya iaitu BeFresh, saya juga dapat bertemu peminat dan rakan-rakan artis.

Carboot Sale ini berbeza kerana tempatnya amat selesa bukan sahaja untuk peniaga tetapi juga pengunjung yang hadir kerana semua kemudahan disediakan.

“Bagi saya jika ingin berjaya, saya harus merebut segala peluang dan ruang yang ada untuk mempromosikan produk keluaran sendiri termasuklah menyertai acara seperti ini. Status selebriti bukan tiket atau jalan pintas untuk sesuatu produk berjaya,” ujar Syed Ali.

INI adalah penyertaan kali ketiga Syed Ali dan menyifatkan acara ini sebagai medan terbaik untuk usahawan kecil memperkenalkan produk mereka.

Sementara itu, Fakhrul UNIC juga berkongsi rasa gembira apabila jualan kraf kayunya menerusi jenama Art & Craft 4A’s Wood Art mendapat perhatian termasuk daripada kanak-kanak.

Seronok kali pertama jualan mendapat sambutan, malah kanak-kanak juga suka dengan aktiviti seni kayu yang kami ketengahkan.

“Alhamdulillah,  kami turut menerima tempahan daripada pengunjung yang tertarik dengan produk kami,” katanya pada acara yang dihadiri kira-kira 500 pengunjung itu.

Selain itu, agensi bakat The Vokal turut menjalankan sesi uji bakat dan mendapat sambutan baik apabila hampir 100 peserta hadir mencuba nasib.

ANTARA peserta cilik yang mencuba nasib dalam uji bakat anjuran agensi pencarian bakat The Vokal.

Turut diteruskan pada jualan kali ini ialah sudut sedekah, Infak Corner yang menyediakan barangan keperluan harian seperti barangan dapur dari syarikat media dan produksi.

Program jualan yang diadakan sebulan sekali itu diacarakan oleh artis serba boleh Adzrin Azhar yang turut membuat persembahan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok