Bukan peminat saya jika perlekehkan artis lain – Aina Abdul 

PENYANYI Aina Abdul menegaskan peminat sejatinya tidak akan berkata buruk terhadap artis lain.

Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani berkata demikian berikutan isu ciapan beberapa individu dalam laman Twitter yang membandingkan popularitinya dengan Ernie Zakri, baru-baru ini.

Menurut pelantun lagu Sumpah itu, netizen yang suka melaga-lagakan artis bukan peminat mana-mana selebriti, sebaliknya sengaja mencetuskan provokasi dan perbalahan.

“Saya enggan letakkan individu tersebut sebagai penyokong saya atau pun orang lain kerana peminat setia saya tidak mungkin memperlekehkan rakan seperjuangan saya.

“Saya tahu peminat saya bagaimana, cara mereka berkomunikasi dan semestinya jika dia penyokong seorang insan bernama Aina Abdul, mereka tidak akan berbuat demikian.

“Mungkin mereka bukan peminat sesiapa, tetapi sengaja ingin mencetuskan perbalahan dengan membuat kenyataan yang seakan-akan mahu melaga-lagakan,” katanya kepada HibGlam.

Ditemui pada majlis Pra Kemuncak Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABP35) yang berlangsung di The Agam, malam tadi, Aina menegaskan ciapan negatif itu sama sekali tidak menggoyahkan hubungan rapatnya dengan Ernie.

“Komen itu tidak sekali pun memberi kesan kepada saya dan Ernie kerana kami berkawan baik, malah pergi gimnasium pun bersama-sama.

“Saya rasa individu itu perlu jumpa saya dan Ernie, lihat bagaimana hubungan kami berdua kerana kami sebenarnya sangat santai.

“Saya tak mahu ini terjadi lagi, jangan komen bukan-bukan yang mungkin akan menyakiti Ernie dan keluarganya. Saya mahukan persaingan sihat yang memeriahkan industri,” kata Aina.

Terdahulu, tular ciapan menyindir Ernie hanya keluarga mengundinya dengan alasan kononnya semua orang mengundi Aina selepas mara ke Top 5 kategori Penyanyi Wanita Popular ABP 35. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok