Segar dan remaja. Dua frasa tepat untuk menggambarkan visual naskhah terbaharu Budak Hostel Otaknya Sewel yang bakal disajikan buat pencinta drama tanah air hujung bulan ini.
Naskhah adaptasi novel yang bakal menghiasi kaca televisyen seluruh negara bermula 31 Julai itu sarat pengajaran dan plot ‘twist’ selain menjangkau standard kebiasaan naskhah genre sama.
Arahan pengarah hebat Norhanisham Muhamad atau mesra disapa Labu, karya berkonsepkan alam persekolahan tersebur dijangka menjadi satu lagi penanda aras, sekali gus mencetuskan fenomena seperti drama Projek: High Council.
Menariknya, naskhah terbitan Radius One Sdn. Bhd. tersebut dibarisi bintang-bintang muda yang sedang menapak dalam industri lakonan.
Justeru, pelbagai cabaran yang dihadapi dalam menjayakan watak-watak yang digalas agar tidak kelihatan kaku dan kayu.
Penyanyi Tuah Adzmi yang menggalas watak Akhil berkata, cabaran paling utama adalah untuk menghayati serta menjayakan watak supaya tidak janggal memandangkan ini lakonan pertamanya.
“Cerita ini ada babak aksi, tapi tiada koreografi. Saya pula tiada asas lakonan mahupun seni mempertahankan diri. Kami kena koreograf sendiri supaya nampak ‘real’.
“Saya terkena satu tumbukan di hidung sebab gagal mengelak hingga hampir pitam sebab tumbukan itu betul-betul kuat.
“Itulah sebenarnya cabaran yang perlu dihadapi, namun benda itu mematangkan saya sebagai pendatang baharu dalam dunia lakonan,” katanya.
Pelakon Adam Eji pula yang memegang watak Widad pula bersyukur kerana banyak diberikan kebebasan oleh pengarah untuk mencorakkan karakter.
Daripada situ, mereka berpeluang mencabar diri mengolah dan menghidupkan watak masing-masing.
“Pengarah beri kebebasan asalkan tidak lari daripada tuntutan karakter. Saya berbesar hati kerana diberi peluang memberi pendapat.
Paling penting kata Adam, dia mencari inisiatif menghubungi penulis novel untuk bertanya lebih mendalam tentang wataknya.
Senada dengan Adam Eji, penggalas watak Cupin, Izz Ilham pula percaya naskhah berkenaan akan menggamit nostalgia bekas penghuni asrama.
“Bagi saya drama ini merupakan naskhah segar, malah orang yang pernah duduk asrama mesti boleh kaitkan dengan adegan seperti makan mi segera guna penyakut baju dan sebagainya.
“Tajuknya sahaja sudah mencuit hati ditambah dengan celoteh setiap watak yang pasti akan membuatkan penonton tidak kering gusi selain terselit pengajaran dan nasihat,” kongsi Izz.
Selain pelakon-pelakon muda seperti Tuah, Aya Amiruddin, Adzim Hariz, Izz Ilham, Baihaq Majid dan Adam Eji, naskhah yang bakal ditayangkan menerusi Astro Ria setiap Isnin hingga Khamis, drama berkenaan turut dibintangi pelakon berkredibiliti, antaranya Sharnaaz Ahmad dan Azhan Rani.
Kisah bermula apabila seorang pelajar lelaki ke asrama budak perempuan kerana menerima cabaran seorang rakan. Dia satu-satunya pelajar lelaki yang berjaya bolos ke dalam asrama perempuan.
Masuk seperti seekor lipas tanpa dapat dikesan, keluar seperti seekor tikus yang menyusup bak halimunan.
Perancangan disusun rapi untuk masuk pada malam hari, namun perancangan yang bermula dengan lancar bertukar sebaliknya.