Bikin onar di Sepang, band 1975 diharam masuk Malaysia

AKSI tidak senonoh mencium rakan sejantina pada festival muzik Good Vibes yang berlangsung di Sepang, semalam memakan diri apabila kumpulan rock terkenal dunia, The 1975 di ‘gam’ daripada membuat sebarang persembahan di Malaysia.

Insiden tersebut dilakukan secara spontan oleh vokalisnya iaitu Matty Healy yang mencium gitaris kumpulannya, Ross Macdonald di atas pentas.

Sejurus selepas itu, dia dimaklumkan menerima arahan untuk menghentikan persembahan sebelum di ‘gam’ daripada muncul dalam mana-mana acara nyanyian di Kuala Lumpur.

Berang dengan perkara tersebut, Healy yang juga bekas kekasi penyanyi terkenal, Taylor Swift itu turut menyelar tindakan menghentikan dan menyekat persembahan kumpulannya mengadakan persembahan adalah tidak masuk akal.

“Ini tidak masuk akal, kerana anda semua bukan mewakili pihak kerajaan.

“Sangat merepek untuk mengarahkan orang tentang apa yang boleh dilakukan atau tidak,” katanya sambil meneguk minuman keras.

Sebelum meninggalkan pentas, dia mengucapkan selamat tinggal dan memberitahu kumpulannya sudah di ‘gam’.

“Kami baru sahaja dimaklumkan sudah dibanned dari Kuala Lumpur, selamat tinggal,” ujarnya.

Selain itu, dia turut mempertikaikan undang-undang yang masih tidak memberi peluang kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBTQ) hidup tanpa disekat kebebasan.

Difahamkan, insiden Healy mencium ahli kumpulan bukan kali pertama berlaku kerana sebelum ini mereka pernah melakukan hal sama ketika membuat persembahan di Dubai.

Sementara itu, penganjur acara, Good Vibes menerusi satu kenyataan mengakui kesal dengan tindakan The 1975 yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

Kami menyesali tentang situasi yang berlaku ketika persembahan The 1975 sehingga perlu dibatalkab kerana tidak mengikut garis panduan ditetapkan.

“Festival Good Vibes akan tetap memberi pengalaman muzik yang hebat dan terima kasih atas semua sokongan anda,” ujarnya.

Meskipun berlaku perkara tidak diingini, jadual persembahan masih diteruskan mengikut yang dirancang.

Festival ini akan terus berlangsung mengikut jadual yang sudah ditetapkan.

“Kami mengalu-alukan kehadiran anda pada hari ini dan esok.

“Kepada yang sudah hadir semalam, kami memahami kekecewaan tersebut dan anda dibenarkan hadir pada hari Sabtu dan Ahad dengan hanya menunjukkan gelang pendaftaran,” katanya lagi.

Rata-rata orang ramai melahirkan kekecewaan dan berharap insiden tersebut tidak menjejaskan sebarang penganjuran konsert penyanyi dari luar negara di Malaysia.

Sejak semalam, The 1975 menjadi bahan bualan dan kecaman ramai apabila melakukan aksi tidak senonoh ketika membuat persembahan.

Video memaparkan Healy mencium Macdonald turut tular dalam media sosial. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok