Berebut hak anak, Noh jalani hidup sukar

Penyanyi Noh Hujan melalui kehidupan yang sukar selepas enam bulan berpisah dengan bekas isterinya iaitu penyanyi yang juga aktivis kemanusiaan, Mizz Nina.

Noh atau nama sebenarnya Mohammad Noh Salleh mendedahkan perkara tersebut secara tidak langsung saat menjawab soalan tentang lima lagu Indonesia yang menjadi kegemarannya dalam Instagram portal hiburan @pophariini.

Menerusi senarai lagu pilihan yang diberikan, Noh, 38, menyebut salah satunya ialah Manusia nyanyian David Bayu.

“Lagu Manusia benar-benar satu refleksi terhadap diri saya. Sejak enam bulan lalu saya melalui kehidupan yang sukar,” ujarnya.

Malah, vokalis kumpulan Hujan itu turut memaklumkan dalam tempoh tersebut juga dia terpaksa berebut hak penjagaan anak angkatnya dengan bekas isteri iaitu Musa yang kini berusia 2 tahun.

“Saya bercerai dengan bekas isteri, kemudiannya berebut anak. Lagu Manusia seakan kena dengan diri saya sebagai seorang manusia yang melalui detik sukar dalam hidup,” katanya.

Noh bersama anaknya, Musa.

Sejak mengumumkan perceraiannya pada Ogos lalu, Noh tidak pernah mengulas mengenai perkara tersebut, malah cuba mengelak diwawancara media walaupun selepas beberapa kali menjayakan konsert bersama Hujan.

Noh mendirikan rumah tangga bersama Mizz Nina pada 2 Julai 2011 dan mengumumkan perceraian mereka pada 4 Ogos tahun lalu.

Hasil perkongsian hidup selama 11 tahun, Noh dan Nina tidak dikurniakan cahaya mata, namun mengambil seorang anak angkat lelaki diberi nama Musa.

Pada Mei lalu, Noh mengumumkan telah mengikat tali pertunangan dengan Fatin Athira Mustapa yang juga merupakan seorang peguam dalam satu majlis yang diadakan di kediaman keluarga wanita pilihannya itu di Putra Heights, Subang Jaya.

Difahamkan, majlis pernikahan mereka bakal diadakan pada 23 September ini.

Manakala Nina atau Shazrina Azman, 40, telah selamat bergelar isteri buat kali kedua apabila menikah dengan penyanyi rap Amerika Syarikat dikenali sebagai Essam Muhammad baru-baru ini. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok