Belum sampai waktu saya bersara – Judika

REAKSI peminat terhadap isu ‘menghilang’  secara tiba-tiba dalam media sosial  baru-baru ini membuka mata vokalis hebat Indonesia, Judika bahawa ramai menyayanginya.

Bukan sengaja mencetus sensasi, namun pemilik nama lengkap Judika Nalon Abadi Sihotang itu akur beberapa perkara perlu dilazimkan sebagai sebagai individu yang masih menjawat peranan sebagai anak seni.

Katanya, dia sendiri terkejut melihat reaksi orang ramai termasuk rakan artis yang menyangka dia benar-benar mahu bersara daripada dunia seni suara.

“Sebenarnya saya sendiri takut dengan gimik sebab kapsyen yang ditulis membuatkan orang ramai menganggap saya mahu menghilangkan diri.

Niat saya sebenarnya hanya ingin memberitahu tentang konsert mendatang dengan cara paling istimewa kepada peminat,” katanya usai sidang akhbar Rockmantic Night Judika and The Gang yang diadakan di Pavilion Kuala Lumpur, minggu lalu.

Menyepi di media sosial sekadar gimik tetapi ramai peminat menyangka Judika akan menamatkan kembar seninya.

Menafikan sekeras-kerasnya bakal meninggalkan dunia seni, pelantun lagu Bagaimana Kalau Aku Tidak Baik-Baik Saja itu memaklumkan, belum waktunya lagi dia berbuat demikian.

“Saya tidak ada niat untuk menghilang. Daripada satu sisi yang lain, ketika saya membaca komen peminat, terbukti rupa-rupanya ramai yang sayangkan saya.

“Komen-komen peminat itu juga membuatkan saya rasa terharu kerana ramai yang masih menghargai karya tulisan dan nyanyian saya.

Ada peminat yang menangis, mesej saya setiap hari bertanyakan keadaan saya. Sekali lagi terima kasih kepada semua yang mengambil berat tentang diri ini,” ujarnya membalas pertanyaan media.

Judika menjelaskan, gimik tersebut bukanlah atas kehendaknya seratus peratus, namun hanya menerima idea daripada syarikat pengurusan.

“Semuanya idea daripada pasukan saya yang memikirkan tentang bagaimana caranya untuk memberi kejutan tentang konsert saya di Malaysia,” katanya.

KONSERT Rockmantic Night Judika and The Gang menampilkan Shila Amzah, Marsha Milan dan Haqiem Rusli sebagai artis jemputan.

Berbicara tentang konsert Rockmantic Night Judika and The Gang, penyanyi berusia 45 tahun itu sangat teruja mengadakan persembahan pada 21 Oktober depan.

Masih ampuh menyanyi pada usia melepasi garis 40 tahun, kata Judika yang merupakan naib juara Indonesian Idol musim kedua itu, dia berjanji akan memberikan pengalaman serta momen indah buat peminat di Malaysia.

Konsert ini istimewa kerana walaupun saya berjiwa rock, namun masih romantis. Sebab itu, konsert dinamakan Rockmantic Night Judika and The Gang.

“Saya mahu mereka yang hadir pulang ke rumah dengan senyuman menandakan mereka puas dengan persembahan kami,” jelasnya.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Judika Sihotang (@jud1ka)

Konsert yang akan berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil tersebut turut menampilkan barisan artis jemputan terkenal tanah air termasuk Shila Amzah, Marsha Milan dan Haqiem Rusli.

Tiket sudah mula dijual di laman web Ticket2u bermula dengan harga RM188 sehingga RM799. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok