Itu sorakan yang bergema di Istana Budaya, Kuala Lumpur selepas aktor, Bell Ngasri memenangi kategori Artis Komedi Popular sekaligus menepati ramalan ramai hari ini.
Bell atau nama penuhnya Ngasrizal Ngasri memberitahu dia enggan menitiskan air mata walaupun sudah diumumkan pemenang bagi kategori tersebut.
“Selama 37 tahun saya tunggu untuk nak dapat perkataan popular di belakang dan saya tak mahu nangis.
“Terima kasih kepada keluaga dan untuk mama saya yang bawa saya sejak kecil,” katanya.
Dalam pada itu, dia juga menitipkan ucapan penghargaan kepada pengarah dan penerbit Allahyarham Mamat Khalid kerana mencipta watak Barkoba yang popular sehingga hari ini.
“Terima kasih juga kepada arwah Mamat Khalid yang mencipta karakter Barkoba.
“Selain itu, terima kasih juga kepada semua penyokong yang datang entah dari mana sedangkan saya tiada kelab peminat pun.
“Ini yang awak nak! Yak yak ye,” katanya lagi.
Selain Bell, kategori tersebut turut membariskan Zizan Razak, Johan, Jaa Suzuran dan Syahmi Syazli.
Beberapa kebelakangan ini, nama Bell meledak menerusi watak Barkoba yang juga geng plastik hitam dalam drama 16 Puasa, 17 Puasa dan 18 Puasa arahan Allahyarham Mamat Khalid.
Bell yang aktif berlakon sejak 37 tahun lalu, bagaimanapun baru kali pertama tercalon dalam acara anugerah dan berjaya melayakkan diri berada dalam senarai lima terbaik bagi kategori Artis Komedi Popular ABPBH. – KOSMO! ONLINE