Bapa mentua Azhar Sulaiman meninggal dunia akibat serangan jantung

PETALING JAYA – Bekas Pengerusi AirAsia Berhad, Datuk Pahamin Rajab meninggal dunia akibat serangan jantung ketika dalam penerbangan ke London bagi menghadiri majlis konvokesyen cucunya, Rees Andika Pahamin.

Khabar duka itu dikongsikan sendiri menantunya yang juga pelakon, Azhar Sulaiman menerusi sebuah hantaran video dalam laman Instagram miliknya.

“Dukacita saya hendak maklumkan bapa mentua saya, Datuk Pahamin Rajab baru meninggal dunia.

“Beliau baru sampai London kena serangan jantung dalam penerbangan. Sekarang ibu mentua dan anak lelaki saya, Rees ada di London,” jelasnya.

Menerusi hantaran sama, Azhar memaklumkan mereka sekeluarga akan bertolak ke London esok untuk menguruskan pemergian insan tersayang itu.

“Kami sekeluarga akan terbang ke London Isnin nanti untuk menguruskan apa yang patut, mohon semua sedekah Al-Fatihah untuk arwah,” kata Azhar menahan sebak.

Allahyarham Pahamin merupakan Pengasas Bersama AirAsia dan pernah berkhidmat dalam kementerian dan agensi kerajaan di Malaysia lebih 30 tahun.

Allahyarham juga pernah menyandang jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bermula 1998 hingga 2001.

Selain itu, allahyarham pernah dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 1974 hingga 1998.

Figura hebat itu juga turut memegang jawatan penting dalam beberapa syarikat termasuk LNG Resources Bhd, Forlife Research Sdn Bhd dan Mediscreen Sdn Bhd. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok