[VIDEO] Anuar Zain mahu lebih dramatik

Penyanyi Anuar Zain mengakui masih belum menemui material terbaik untuk tampil dengan single baharu.

Ujar penghibur berusia 53 tahun itu, setiap tahun dia merancang untuk tampil dengan lagu baharu, namun belum kesampaian kerana lagu-lagu yang diberikan kepadanya tidak memenuhi cita rasa yang diinginkan.

“Setiap tahun saya cakap akan keluar dengan lagu baharu. Tapi hujung-hujung senyap (tak jadi) sebab belum jumpa material  sesuai.

“Saya rasa susah untuk dapat lagu yang dirasakan terbaik. Bagaimanapun, ada satu atau dua lagu yang sudah pun melekat di hati namun masih dalam perancangan,” ujarnya kepada HibGlam.

Anuar cenderung memilih karya yang ada nilai dramatik.

Ketika disoal tentang kualiti yang dimahukan, pelantun Bila Resah itu berkata, kebanyakan lagu baharu yang diberikan kepadanya tidak mempunyai ‘drama’ dalam karya tersebut.

“Saya perhatikan, kebanyakan lagu sekarang hanya sekadar lagu. Saya mahukan lagu yang ada drama (penceritaan) daripada segi melodi dan liriknya. Saya sukakan sesuatu yang dramatik.

“Saya bukannya cerewet, cuma seorang yang teliti,” tegasnya

Bercakap tentang single duet baharu kakaknya iaitu penyanyi, Ziana Zain bersama penyanyi muda, Hasif Upin berjudul Waktu, Anuar atau nama lengkapnya Shahrul Anuar Zain itu menyifatkan karya tersebut adalah yang terbaik pernah didengarnya hari ini.

“Hebat. Saya sangat suka dengan lagu itu. Bukan hendak lebih-lebihkan kakak sendiri, namun saya rasa kombinasi antara kak Gee (panggilan Ziana) dengan Hasif sangat sempurna.

“Saya sudah dengar banyak lagu baharu. Banyak juga yang saya suka. Tapi jika tanya saya, lagu Waktu adalah antara karya terbaik yang saya dengar.

“Lebih membanggakan, kak Gee menerima lagu tersebut selepas 15 tahun tidak keluar dengan sebarang single baharu,” jelasnya.

Anuar menghiburkan rakan media di majlis sidang media Konsert Anuar Zain 40 Tahun (AZ40), yang berlangsung petang semalam.

Anuar yang ditemui semasa sidang media Konsert Anuar Zain 40 Tahun (AZ40) di sini, semalam turut berkongsi rasa teruja apabila bakal menjayakan konsert solonya yang kelima pada 28 Oktober nanti di Stadium Malawati, Shah Alam.

Dalam konsert tersebut, Anuar bakal menghiburkan peminat dengan 20 lagu popularnya menerusi persembahan berdurasi dua jam.

Tiket yang dijual bermula pada harga RM188 hingga RM1188 boleh mula dibeli pada 12 Julai nanti menerusi laman web www.jiotix.com. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HibGlam (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok