Aina puas gayakan tiga baju puluhan ribu ringgit di ABP35

DEMI satu kepuasan, penyanyi Aina Abdul tidak kisah membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk tiga persalinan yang digayakannya di Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABP35) yang berlangsung semalam.

Katanya, kos tersebut turut membabitkan sewaan lori lut sinar bagi membawa persalinan rona merah rekaan Behati seberat 25 kilogram (kg) bersama 20 anggota pasukannya serta bayaran tambahan lain.

Bukan sengaja naik lori ke majlis anugerah, tetapi memang perlu kerana baju itu terlalu besar selain turut disokong kayu yang jika dikira beratnya lebih 20 kg.

“Cuma kalau naik lori pun saya pastikan kenderaan tersebut nampak gah. Jadi itu yang membuatkan misi ini direalisasikan terutama ketika muncul di karpet merah.

“Kiranya senaman dan aktiviti fizikal yang selama ini saya jalani di gimnasium banyak membantu saya menggayakan blazer agam itu,” katanya pada sidang media selepas diumumkan sebagai pemenang trofi Penyanyi Wanita Popular, malam tadi.

AINA puas apabila dapat menggayakan sut gergasi rona merah seberat 25 kilogram rekaan Behati di karpet merah ABPBH35.

Dalam acara karpet merah di ruang lobi Istana Budaya, Aina atau Nurul Aina Abdul Ghani, 30, tampil dengan kejutan apabila bukan sahaja tiba dengam menaiki lori lutsinar, malah gambar busana gergasi selebar empat kaki turut tular.

Blazer merah rekaan Behati ini mengambil masa seminggu untuk disiapkan dan saya mengambil inspirasi konsep mega dalam merealisasikannya,” tambah penyanyi Semalam itu.

Usai bergambar di acara karpet merah, Aina mengubah gaya kepada helaian diinspirasikan daripada sekuntum bunga mawar merah besar di dada bersama ekor gaun leret.

Sementara itu, Aina yang turut pulang dengan trofi Lagu Paling Boom Popular mengakui sudah lama mengidam gelaran Penyanyi Popular.

Dari kecil saya ikuti anugerah ini jadi apabila menceburi arena ini saya menaruh harapan dapat menggenggamnya dan malam ini jadi kenyataan,” kongsinya.

Ditanya lagi mengenai kritikan peminat terhadap penyanyi lain terutama pesaing dalam kategori sama, katanya dia tidak boleh menyekat kebebasan bersuara.

“Saya selalu ingatkan kelab peminat berhati-hati dan jangan berbalah sebab saya dan rakan artis punya hubungan baik.

“Malah, selagi terkawal saya akan abaikan demi kesihatan mental lebih-lebih lagi bagi yang suka tengok sosial media,” ulas Aina.

Menerusi kategori penyanyi wanita, pencabar lain ialah Ernie Zakri, Nabila Razali, Siti Nordiana dan Wany Hasrita. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok