Afiq Muiz bukan lagi suami Pachara, cerai talak satu

Bernoktah sudah kemelut rumah tangga Afiq Muiz apabila pelakon itu menceraikan isterinya,Nur Aaira Mahadeya, 32, atau Pachara dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Ampang, di sini hari ini.

Menurut Peguam syarie mewakili Afiq, 31, iaitu Mohd Yazit Sa’at, anak guamnya melafazkan cerai terhadap Pachara di hadapan hakim, Afif Sofiuddin Syeikh Abd Ghani selepas kedua-duanya bersetuju untuk menyelesaikannya secara baik.

Ada beberapa perkara dipersetujui antara Afiq dan Pachara iaitu dengan menggugurkan semua tuntutan seperti nafkah edah, mutaah, tunggakan nafkah isteri dan hutang dalam perkahwinan.

“Pachara tidak akan membuat sebarang tuntutan selepas perceraian ini.

Manakala, Afiq pula bersetuju untuk menarik semula kes nusyuz yang difailkan di Mahkamah Rendah Syariah Sepang,” katanya.

Tambah Mohd Yazit, perbincangan juga sudah dilakukan antara peguam kedua pihak dan anak guam masing-masing bersetuju untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau dakwaan dalam media sosial.

“Perbincangan pada awalnya hanya dilakukan antara peguam menerusi surat dan kali terakhir dilakukan ialah pagi tadi iaitu sebelum memasuki dewan bicara.

Hasil perbincangan, kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dalam media sosial selepas perceraian,” katanya lagi.

Mengimbau semula, Pachara memfailkan permohonan fasakh terhadap Afiq pada Oktober tahun lalu kerana menganggap dirinya tidak menerima layanan yang sepatutnya sebagai seorang isteri.

Selain itu, Pachara turut membuat laporan polis pada 14 Mei 2021 atas dakwaan Afiq menampar bahagian mukanya sebanyak lima kali, selain menendang perut dan menumbuk bahagian dagu sebanyak dua kali.

Pada November tahun lalu, Afiq pula tampil membuat laporan polis berhubung dakwaan isterinya yang dianggap fitnah terhadap dirinya dan keluarga.

Afiq juga dilapor menyerahkan kepada peguam untuk tindakan susulan berhubung tuduhan kaki pukul dilemparkan wanita terbabit.

Sebelum ini, Pachara yang berasal dari Ranau, Sabah memuat naik kenyataan dalam Facebook (FB) dan TikTok mendakwa Afiq pernah mengasarinya sehingga membuatkan kaki dan jarinya patah.

Kenyataan itu mendapat komen balas adik Afiq, Aishah Azman yang bengang dengan tindakan Pachara didakwa membuat kenyataan palsu dalam media.

Afiq mendirikan rumah tangga dengan Pachara pada 27 Mac 2019 selepas setahun berkenalan di lokasi penggambaran drama Air Mata Syurga. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok