Tiket termahal konsert Faizal Tahir ‘disapu’ licin

SEMPAT mencetuskan kejutan lewat harga tiket konsert Aku Faizal Tahir Live in Kuala Lumpur yang didakwa ‘kayangan’ berbanding harga tiket artis lain, hakikatnya sambutan terhadap kerusi tempat duduk paking mahal bernilai RM688 cukup luar biasa apabila laris terjual tidak sampai 24 jam kaunter online dibuka, semalam.

Perkara tersebut diumumkan JioBuddy selaku penganjur yang memaklumkan zon termahal iaitu VIP serta tempat duduk Platinum pada kadar RM488 licin disambar peminat.

Kata  wakil penganjur, berbanding tiga zon tiket ditawarkan bagi konsert yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur itu, hanya tiket bagi zon Diamond, RM588 saja kini masih dijual.

“Anda semua memang rockstar! Tiket sudah semakin berkurang. Nanti ada yang makan hati tak dapat tengok Faizal Tahir menyanyi lagu ‘live’.

“80 hari lagi untuk kita bertentang mata dengan rockstar, penyanyi, penulis lirik dan komposer lagu Mahakarya Cinta ini! Terima kasih kepada semua,” kongsi penganjur menerusi Facebook.

Selepas pengumunan Isnin lalu, harga tiket konsert Faizal yang dijangka berlangsung pada 2 September depan meraih komen ramai.

Berbanding beberapa konsert penyanyi tempatan lain sebelum ini yang masih menawarkan harga sekitar RM100 ke atas, kadar termurah harga tiket konsert Faizal pun sudah hampir mencecah RM500.

Menurut penganjur, penetapan harga tiket dibuat berdasarkan beberapa faktor, termasuk kos lokasi dan pengalaman yang bakal ditawarkan kepada penonton menjelang konsert.

Malah pengalaman yang bakal dibawa pulang khalayak berbaloi dengan apa yang ditawarkan penyanyi, komposer dan penulis lirik yang sudah 17 tahun berkecimpung dalam industri muzik.

Gelanggang yang bakal menjadi lokasi konsert mega Faizal itu dijangka mampu memuatkan 2,900 penonton pada satu-satu masa. HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok