Sopannya Reen Rahim, jual tudung atau sampai seru?

SERING tampil dengan imej seksi, pelakon jelita Reen Rahim membuatkan ramai terkesima tampil berhijab dalam perkongsian video menerusi Instagram.

Dalam video berkenaan Reen atau nama lengkapnya Noreen Ashikin Abd. Rahim dilihat sedang menjalani penggambaran sebuah produk dengan mengenakan busana sopan diacu tudung serba merah.

Menerima komen positif daripada netizen, Reen tampil menjelaskan dia berpenampilan sedemikian bagi memenuhi tuntutan projek yang kini melantik dirinya sebagai duta.

“Ada syarikat yang minta saya untuk menjadi ‘wajah’ untuk produk mereka, namun menyuruh saya memakai hijab.

“Pada mulanya mereka macam takut-takut untuk minta (berhijab), mungkin bimbang saya kecil hati, (tetapi) lepas mereka cakap, mereka terkejut dengan keterbukaan saya menerima cadangan itu.

“Jadi jika ada tawaran sebegitu, pastinya saya akan terima, mana tahu ini adalah antara asbab untuk saya terus menjadi manusia yang lebih baik dan tertutup auratnya,” jelasnya ketika dihubungi HIBGLAM.

Dalam pada itu, aktres berusia 35 tahun itu menegaskan sudah lama memasang niat memakai tudung, namun enggan tergesa-gesa kerana bimbang tidak kuat untuk terus istiqamah.

“Dekat hati kita mesti kita ada niat nak jadi baik. Sekarang rasa (untuk berhijab) itu tidak konsisten dalam hati, saya tak mahu jika nanti tudung saya makin lama makin pendek dan akhirnya buka terus.

“Tapi jauh dalam sudut hati saya, saya berdoa suatu hari nanti Allah beri pengakhiran yang baik selain terus menjadikan hati saya dekat dengan Maha Pencipta,” katanya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengikut meluahkan rasa senang melihat penampilan Reen yang sopan selain mendoakan Reen dikurniakan hidayah Allah untuk menutup aurat sepenuhnya.

“Sejuk mata memandang Reen, moga terus menutup aurat, saya faham setiap manusia perlukan masa, perlahan-lahan berubah apa salahnya kan?, Insya-Allah boleh tu,” komen seorang pengikut Reen dalam Instagram.

“Saya doakan Reen diberi hidayah oleh Allah untuk berhijab suatu hari nanti,” tulis seorang pengguna.

Terdahulu, Reen sentiasa mengundang kecaman dan tohmahan netizen apabila sering tampil dengan imej mencolok mata. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok