Rohana isteri, ibu terbaik – suami

SUBANG JAYA – Suami kepada Allahyarham Rohana Jalil, Jahangir Khan, menyifatkan arwah isterinya sebagai suri hari serta ibu terbaik sepanjang empat dekad mereka hidup bersama.

Pesara polis berusia 66 tahun itu berkata, keperibadian teman hidupnya menjadikan kehidupan mereka rukun tanpa pertelagahan besar sepanjang 40 tahun bergelar suami isteri.

“Saya kagumi keperibadian arwah isteri kerana dia terbaik dalam semua aspek selain merasa bertuah kami dapat kekal hidup bersama sehingga akhir hayatnya.

“Walaupun sama-sama sibuk dengan kerjaya iaitu saya sebagai anggota polis dan dia penyanyi, kehidupan rumah tangga kami cukup bahagia,” katanya kepada Kosmo! Online.

Mengenai kesihatan isterinya, kata Jahangir, dia menyedari Rohana atau nama sebenarnya Dara Abdul Jalil, 68, mempunyai masalah apabila keadaan fizikalnya semakin kurus.

“Apabila melihat tubuhnya semakin susut saya mengajak arwah ke hospital bagi melakukan pemeriksaan tetapi awalnya dia menolak.

“Namun pada April lalu sebaik mula sakit, saya terus bawa ke hospital tetapi ketika itu doktor memaklumkan arwah mengalami kebocoran usus.

“Apa pun saya reda dan bersyukur dapat menjaganya sepanjang tempoh dua bulan itu bersama anak-anak kami,” katanya.

Terdahulu, Allahyarham Rohana disahkan meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada jam 11.33 malam tadi.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok