Neelofa berpantang ‘import’ bidan kampung

Pengacara dan usahawan, Neelofa mendedahkan teringin berpantang secara tradisional selepas kelahiran cahaya mata kedua dalam tempoh terdekat ini.

Katanya, sebelum ini dia pernah memanggil bidan moden, sekaligus mendorongnya bersama suami untuk menggunakan khidmat bidan kampung bagi menjaganya sepanjang tempoh 44 hari.

“Ketika kelahiran anak pertama saya menggunakan khidmat bidan moden, namun untuk kelahiran kedua saya dan suami sepakat mengambil bidan kampung.

“Tidak salah mencuba sesuatu yang baharu memandangkan saya pernah berpantang cara moden, kini teringin pula merasai dijaga bidan yang didatangkan khas dari kampung suami di Terengganu.

“Sebelum ini pun saya dengar saja orang kata penjagaan tradisional ketat, jadi harapnya proses ini dapat memberikan kesan baik kepada ibu bersalin,” katanya.

Neelofa, 34, bersama suaminya yang juga pendakwah bebas, Haris Ismail ditemui ketika pelancaran restoran Rightside, Mont Kiara, di sini, hari ini.

Pada masa sama, pemilik nama penuh Noor Neelofa Mohd Noor itu turut mendedahkan dihimpit perasaan gementar menunggu detik melahirkan.

“Kebetulan pagi tadi saya berjumpa doktor untuk pemeriksaan bulanan dan terus maklumkan pada suami mengenai debaran menjelang tarikh bersalin yang semakin hampir.

“Alhamdulillah, semuanya dalam keadaan baik dan perkembangan bayi juga sihat. Mohon doakan proses melahirkan kali ini dipermudahkan,” katanya.

Ditanya mengenai jantina bayi mereka, baik hos Next To Neelofa itu mahu pun Haris, perkara tersebut hanya akan dimaklumkan kemudian.

“Insya-Allah, kami akan maklumkan jantina bayi kami sekali dengan namanya genap tujuh hari selepas kelahiran,” ulasnya lagi.

Neelofa mendirikan rumah tangga bersama Haris pada 27 Mac 2021 dab dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Bilal, 2. — HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok